Kaum Cina dan India jangan tertipu oleh DAP

- Advertisement -

PARTI Tindakan Demokratik (DAP) yang ditubuhkan selepas negara ini mencapai kemerdekaan, cuba menggantikan parti MCA (Persatuan Cina Malaysia) dan parti MIC (Kongres India Malaysia) yang telah ditubuhkan sejak belum kemerdekaan lagi.

- Advertisement -

DAP yang ditubuhkan kemudiannya cuba merungkai hubungan masyarakat majmuk yang telah bertapak dengan harmoni tanpa paksaan beragama Islam, walaupun disebutkan Islam itu agama bagi Persekutuan. Namun, juga diberikan hak kebebasan beragama dan tanpa merubah rupa bangsa, bahasa dan budayanya.

Islam yang disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan itu hendaklah ditafsirkan dengan makna yang sebenar mengikut ajaran Islam. Ia tidak boleh ditafsirkan mengikut bahasa penjajah, kerana salah makna dan tujuannya yang sebenar, sekali gus memberikan maksud yang tidak sempurna dan bermakna Islam tidak berdaulat dalam negaranya sendiri.

Kaum Melayu dan rumpunnya lebih awal berada di sini. Mereka menganut Islam yang sempurna dalam sebuah negara berdaulat yang menjadikan Islam berkuasa, di luar daripada takrif sekularisme yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Dalam keadaan Islam berkuasa, Allah SWT memerintahkan dalam al-Quran supaya menerima hakikat adanya berbagai-bagai bangsa dan bahasa yang tidak boleh dipaksa untuk dihapuskan. Dalam keadaan adanya juga bahasa tonggak yang menjadi bahasa rasmi bagi pentadbiran, bahasa ilmu dan bahasa perantaraan sebagai asas perhubungan antara kaum.  

PAS berada di peringkat Persekutuan pada posisi pembangkang, walaupun hanya satu kerusi sahaja yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Pertama 1955 iaitu Pilihan Raya Pra-kemerdekaan. Sedangkan, majoritinya ketika itu dimenangi oleh Parti Perikatan (UMNO, MCA dan MIC).

PAS sebagai pembangkang boleh bersama-sama UMNO memainkan peranan yang besar bagi memasukkan perkara-perkara penting dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam, Melayu dan bumiputera, raja-raja, dan hak kebebasan beragama. Semua perkara yang dipandang remeh oleh Suruhanjaya Reid.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-2 (tahun 1959) selepas memperoleh kemerdekaan, PAS hanya mendapat 13 kerusi di peringkat Persekutuan serta berjaya memerintah kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu (sekadar bertahan dua tahun). Walaupun bidang kuasa kerajaan negeri sangat terbatas, tetapi ruang memerintah itu dapat menunjukkan sedikit ajaran Islam, termasuk dalam aspek hubungan masyarakat majmuk.

Kaum bukan Islam di Kelantan dan Terengganu khususnya di bawah kerajaan PAS, Kedah, Perlis, Perak Utara, Johor dan lain-lain kawasan majoriti besar Melayu Islam tidak menjadi masalah adanya minoriti bukan Islam di tengah-tengah masyarakat Islam dalam tempoh masa yang panjang. Walaupun Islam tidak berkuasa dengan sempurna, keadilannya yang sempurna tetap boleh dilaksanakan.

Hal ini disebabkan sifat kemanusiaan yang dibawa oleh Islam masih ditanam dalam diri bangsa Melayu yang sangat erat bersama Islam. Sekalipun dalam kalangan bangsa Melayu itu ada golongan yang jahil dan tidak beramal dengan kebanyakan ajaran Islam.

Apabila DAP membawa agenda baharu Malaysian Malaysia dan prinsip sekularisme yang memisahkan agama daripada urusan politik, ekonomi dan lain-lain, perkara itu merupakan suatu usaha untuk merungkai semula apa yang telah diikat dengan baik. Mungkin generasi muda daripada kalangan kaum Cina dan India tidak perasan dengan langkah yang sumbang ini kerana kebanyakan mereka lahir selepas kemerdekaan.

Alasannya cuba menggambarkan kalangan bangsa Melayu itu rasis, tanpa melihat wajah yang sebenar di lapangan. Padahal kaum Melayu ialah kaum yang paling tidak rasis, walaupun dipaksa oleh penjajah menerima jus soli menjadi syarat kemerdekaan dengan menerima pendatang daripada kalangan kaum Cina dan India menjadi warganegara.

Namun, pengaruh Islam yang ada dalam diri kaum Melayu boleh menerima kewujudan kaum lain di tengah-tengah mereka. Hal ini dapat dilihat betapa keluarga bukan Islam Cina dan India dengan  kelompok yang kecil bebas untuk berniaga, bertani dan beragama. Hanya mereka yang buta akal sahaja menuduh Melayu ini bersikap rasis.

Malah, di negara ini juga dibenarkan setiap kaum menggunakan bahasa masing-masing, sehinggalah membuka sekolah yang dinamakan jenis kebangsaan. Selain itu, juga diberikan kebebasan menyebarkan akhbar dalam bahasa kaum masing-masing, dalam keadaan bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan di bandar dan kampung, serta diterima menjadi bahasa rasmi yang disebut sebagai Bahasa Kebangsaan.

Pendekatan Malaysian Malaysia dibawa oleh mendiang Lee Kuan Yew di Singapura pada awal tahun 60-an bersama rakan-rakannya menerusi Malaysian Solidarity Convention yang dinaungi oleh beberapa buah parti politik. Tujuan mereka memperkenalkan konsep itu adalah bagi membantah Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyediakan pelbagai hak keistimewaan kepada orang Melayu dan bumiputera.

Mereka berpendapat, bukan Melayu yang telah diberikan kerakyatan juga berhak memiliki hak keistimewaan yang sama. Ini bererti kedudukan orang bukan Melayu adalah sama taraf dengan orang Melayu dan bumiputera. Dalam lain perkataan, semua bangsa, bahasa, agama dan budaya adalah sama.


Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan beberapa hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera. Antaranya seperti Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia, agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, melindungi institusi Melayu, kuota pekerjaan dalam Perkhidmatan Awam, kuota biasiswa untuk pendidikan, lesen perniagaan dan lain-lain.


Semua ini ditetapkan bagi menyusun semula ketempangan dasar British yang telah menjajah negara ini dari tahun 1824 hingga 1957 yang menindas kaum Melayu Islam, dengan mengutamakan para pendatang asing seperti orang Cina dan India. Pada masa yang sama, sengaja meminggirkan penduduk asal khususnya kerana permusuhan mereka terhadap Islam dan umatnya, serta sikap umat Islam menentang kehadiran penjajah sejak awal lagi.

Penjajah British meminggirkan penganut Islam mengikut apa yang telah dilakukan di Palestin, Cyprus, Fiji dan lain-lain apabila mereka membawa masuk berbagai-bagai etnik ke tanah jajahannya bagi meninggalkan masalah. Kaum Yahudi dibawa masuk ke Palestin, kaum Greek dibawa masuk ke Cyprus, kaum India dibawa masuk ke Fiji serta kaum Cina dan India dibawa masuk ke Tanah Melayu.

Apabila mereka memberikan kemerdekaan kerana tidak dapat bertahan menghadapi tentangan umat Islam, lalu mereka membawa masuk pendatang asing menjadi rakyat yang juga ditetapkan menjadi sebahagian daripada syarat-syarat kemerdekaan.


Selepas Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965, konsep ini terus diperjuangkan oleh DAP iaitu sebuah parti serpihan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura sehingga sekarang. Itulah sebabnya orang Melayu dan bumiputera sekarang terus-menerus menolak konsep ini yang bakal melenyapkan ketinggian Islam, ketuanan Melayu, hak keistimewaan dan kelebihan mereka di bumi asal mereka.


Orang Melayu dan bumiputera ialah keturunan Nusantara (The Malay Archipelago), bangsa asal Gugusan Kepulauan Melayu. Orang Melayu dan bumiputera tidak akan sekali-kali menerima pakai konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP.

Bangsa Melayu yang menganut Islam dan melaksanakan Islam yang sempurna sebelum kedatangan penjajah, telah menentang  penjajah sejak awal kedatangannya bermula tahun 1511 sehingga beberapa abad lamanya dengan mengorbankan ramai para syuhada’ daripada kalangan rakyat sehinggalah para ulama’ dan raja-raja. Sehinggakan, para penjajah terpaksa berundur dengan perancangan dan tipu daya mereka yang mewujudkan masalah. Antaranya ialah membawa masuk warga asing dari tanah jajahan yang lain, namun tetap ditangani dengan sifat kemanusiaan yang telah diajarkan oleh Islam.

Jus soli ialah alternatif kepada idea Malayan Union yang menjadi bebanan kepada orang Melayu sebagai penduduk asal yang menentang penjajah. Namun, Islam yang dinobatkan menjadi agama bagi Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan sudah cukup memberikan pengiktirafan terhadap hak ketuanan dan kepimpinan Melayu Islam dalam negara ini.

Oleh itu, sepatutnya kalangan bukan Islam itu menghargai sumbangan negara ini yang memberikan tempat kepada mereka. Bahkan, mereka wajib menerima hakikat bahawa kebanyakan negara di dunia tidak memberikan tempat kepada sesiapa yang bukan penduduk asal dan tidak menganut ideologi negaranya, namun sebaliknya Islam memberikan hak yang adil kepada penduduk bukan Islam yang tidak menganut Islam menjadi aqidah negara.

Kedudukan Islam  yang dianut oleh rumpun Melayu dengan akrab tidak  boleh dicabar sewenang-wenangnya. Malah, sepatutnya sikap toleransi yang diberikan kepada mereka itu hendaklah dihormati.

Konsep sekularisme dan Malaysian Malaysia boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama. Pernah berlaku ketegangan di Singapura, ketika konsep tersebut mula diperkenalkan. Walaupun PAP dapat menguasai Singapura kerana kedudukan majoriti kaum pendatang mengatasi majoriti Melayu Islam, namun keadaan mereka tidak selamat kerana berada di tengah-tengah jumlah umat Islam terbesar di Nusantara.

Malaysia pernah mengalami peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi sejarah hitam dalam hubungan masyarakat majmuk. Maka, peristiwa hitam itu jangan diulang sekali lagi dengan membawa agenda yang salah.

Teruskan sahaja penyelesaian yang ada dan kepimpinan Melayu Islam tanpa diganggu-gugat. Penyelesaian yang memberikan hak kemanusiaan secara tabii, kemanusiaan bermasyarakat majmuk yang beraqidah ketuhanan yang melimpah dengan keadilan dan rahmat-Nya kepada seluruh manusia tanpa paksaan menganut Islam.

Selain itu, juga memberikan peranan kepada kalangan bukan Islam dalam urusan kehidupan manusia yang tiada kaitan dengan rukun aqidah, sehingga bukan Islam dibenarkan berada dalam kabinet dan Exco Kerajaan Negeri, termasuk jabatan kerajaan. Inilah perkara yang tidak pernah diizinkan oleh semua ideologi apabila masing-masing memerintah negara.

Umat Islam sangat berpegang dengan kitab suci al-Quran. Antaranya, firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا١﴾

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menciptakan pasangannya (Hawwa’) daripada Adam; lalu daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat. Sesungguhnya, Allah sentiasa memerhatikan (mengawasi) kamu.” (Surah al-Nisa’: 1)

Dan firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya, Kami telah mencipta kamu daripada lelaki dan perempuan; kemudian Kami jadikan kamu pelbagai bangsa dan pelbagai suku agar kamu saling berkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujurat: 13)

Bagi menjaga hubungan kemanusiaan dan menegakkan adil kepada semua, maka kepimpinan Islam yang bertaqwa adalah diwajibkan. Taqwa tidak terdapat dalam mana-mana ideologi sekularisme yang tidak dipandu oleh agama, khususnya agama Tauhid (ketuhanan Allah yang Maha Esa).

Hak terhadap bukan Islam dalam negara Islam sudah cukup memberi tempat kepada mereka yang dipaksa oleh penjajah untuk berada di sini. Mereka tidak dihalau pulang ke negara asalnya secara paksaan kerana Islam menerima semua kaum membawa risalahnya kepada seluruh manusia, sama ada memeluk Islam tanpa paksaan atau terus berdamai dan menganut agama masing-masing dengan wajib diberikan hak kemanusiaan dan keadilan terhadap semua di atas bumi Allah SWT.

Maka, kedudukan Perlembagaan Persekutuan yang digubal melalui penglibatan parti-parti masyarakat majmuk yang menentang penjajah perlu dipertahankan. Pada masa yang sama, hendaklah ada penambahbaikan yang memperkasakan hubungan masyarakat majmuk dengan aman dan harmoni, bukan merombak dan merosakkan dasar dan konsep yang baik. Perkara inilah wajib dipertahankan berdasarkan sentimen kaum yang melampau oleh kalangan mereka yang tidak terlibat secara langsung dengan perjuangan kemerdekaan.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Zulqa‘dah 1444 / 7 Jun 2023 – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -