Kaji semula kadar pemberian geran perkapita

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Awang Hashim (PN-Pendang) berpandangan bahawa kadar geran perkapita berdasarkan bilangan orang wajar disemak semula kerana kaedah itu digunakan sejak 21 tahun lalu.

- Advertisement -

Katanya, kadar geran berkapita tidak pernah disemak semula sejak 2002, iaitu satu jangka masa yang cukup lama.

Pada masa sama, katanya kadar inflasi semakin meningkat, tetapi kadar geran perkapita masih lagi berdasarkan 100,000 orang yang pertama, kerajaan membayar RM72 per kepala.

Bagi 500, 000 orang yang berikut, katanya kadar bayaran RM10.20 bagi seorang dan 500,000 orang berikutnya RM10.80 bagi seorang dan selebihnya, RM11.40 per kepala.

“Bayaran ini sudah 21 tahun, jadi adakah kerajaan bercadang untuk semak semula bahkan sepatutnya pasca pandemik ini membuka ruang kepada kerajaan Persekutuan untuk menyemak semula kadar pemberian geran berkapita kepada negeri-negeri supaya nilai yang diterima setimpal untuk perbelanjaan setiap negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang juga mengingatkan kerajaan Persekutuan supaya bertindak adil tanpa diskiriminasi kepada negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

“Adakah kerajaan bersedia menerima atau mempertimbangkan cadangan ini dan bersifat adil tanpa diskriminasi terhadap negeri yang ditadbir pembangkang.

“Buktinya baru-baru ini, Pulau Pinang dengan mudah saja mendapat peruntukan Transit Aliran Ringan (LRT) sebanyak RM10 bilion sedangkan Kedah minta berjumpa atau berbincang dengan Perdana Menteri pun tidak dapat hingga sekarang,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan 2, Steven Sim Chee Keong, ketika menjawab memberitahu bahawa pemberian geran perkapita mengikut bilangan penduduk tanpa campur tangan politik.

“Kalau Pulau Pinang ada penduduk yang ramai jika dikira mengikut formulanya, negeri ini akan mendapat lebih tinggi. Untuk Kedah memang ada kenaikan, iaitu pada tahun ini sebanyak 1.04 peratus melebihi paras purata kenaikan setiap negeri.

“Kedah sebenarnya negeri ketiga tertinggi menerima Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) selepas Kelantan dan Sabah,” katanya.

Mengikut soalan asal, Awang meminta Menteri Kewangan menyatakan pertimbangan serta usaha kerajaan dalam memperhalusi semula geran perkapita berdasarkan Bahagian I Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -