
RIYADH: Kedutaan Iran di ibu negara Arab Saudi, Riyadh kini telah dibuka semula susulan kedua-dua negara bersetuju untuk menamatkan keretakan diplomatik di bawah perjanjian pengantaraan China pada Mac lalu.
Timbalan Menteri Luar Iran, Alireza Bigdeli berkata ia merupakan detik dan hari penting Republik Islam Iran dengan Kerajaan Saudi, lapor Al Arabiya.
“Kerjasama antara Iran dan Arab Saudi kini memasuki era baharu,” kata Alireza.
Beliau berkata demikian dalam upacara menaikkan bendera di kedutaan Iran di Riyadh yang dibuka secara rasmi pada Selasa (6 Jun).
Terdahulu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani pada Isnin (5 Jun) berkata bahawa kedutaan Iran di Riyadh, Konsulat Jeneral negara itu di Jeddah dan pejabat kepada Pertubuhan Kerjasama Islam akan dibuka semula secara rasmi pada Selasa dan hari ini, Rabu (7 Jun). – HARAKAHDAILY 7/6/2023