Bak kut teh makanan warisan Malaysia?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mempersoalkan pandangan bahawa bak kut teh adalah makanan warisan negara ini.

- Advertisement -

“Saya ingin bertanya sejak bila bak kut teh menjadi makanan tradisi di Malaysia kerana saya lihat dalam 10 makanan tradisional paling popular di Malaysia, tiada bak kut teh.

“30 makanan tradisional kaum-kaum di Malaysia, tiada bak kut teh,” katanya sambil membacakan beberapa nama makanan tradisional yang tiada langsung menyenaraikan bak kut teh.

Timbalan Speaker, Dato’ Ramli Mohd Nor, kemudian meminta Mohd Suhaimi bertanyakan soalan.

“Soalannya Yang Berhormat, sejak bila bak kut teh dimasukkan dalam senarai makanan warisan. Adakah menteri setuju hendak masukkan (bak kut teh) dalam permohonan yang diminta oleh (Ahli Parlimen) Tebrau,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus bin Akbar Khan, ketika menjawab persoalan ini bersetuju dengan pandangan Langkawi bahawa untuk memasukkan setiap jenis makanan sebagai makanan warisan negara memerlukan makanan berkenaan boleh dimakan oleh setiap rakyat Malaysia.

“Kalau bak kut teh itu menyediakan bak kut teh ayam, bolehlah YB Langkawi. Tetapi kalau bak kut teh yang dibangkitkan YB Tebrau, dia tak bagi secara khusus jenis apa, saya pun tak boleh jawab secara spesifik. Namun, pokoknya untuk kita masukkan makanan warisan harus boleh dimakan oleh semua kaum,” katanya.

Mengikut soalan asal Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau), beliau meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, menyatakan usaha kementerian untuk memastikan makanan tradisi rakyat Malaysia seperti nasi lemak, bak kut teh, laksa diangkat martabat sebagai makanan kebangsaan Malaysia dan tidak dituntut sebagai makanan kebangsaan negara lain.

Bak kut teh merupakan sejenis hidangan sup berserta daging rusuk (terutama khinzir) yang dimasak dalam herba tradisi Cina yang dikatakan berasal dari Klang, Selangor. – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -