
KUALA LUMPUR: Pelancaran Klinik Umrah Siri Ke-6 pada tahun ini membuktikan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel), tidak bersifat monopoli dalam industri umrah di negara ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata demikian sebagai respons terhadap dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa syarikat pengendali umrah dan haji terkenal itu turut mengamalkan dasar monopoli dalam industri berkenaan.
“Apabila syarikat Andalusia Travel dapat membuat confirm orders atau confirm booking dengan jumlah yang besar, ia dapat menyelaras dan memastikan harga tiket penerbangan untuk dijual dengan harga yang berpatutan,” katanya.
Beliau menambah bahawa bukan semua syarikat agensi umrah milik bumiputera mampu melakukan sedemikian sepertimana Andalusia Travel kerana ia menelan jumlah wang yang besar.
“Oleh sebab itu, saya menyatakan ia (langkah Andalusia Travel) adalah jihad ekonomi dan pihak kami turut meminta Andalusia Travel supaya membantu mana-mana syarikat agensi umrah yang tidak berkemampuan juga,” tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Klinik Umrah Siri Ke-6 dan pelancaran risalah atau brosur Andalusia Travel 1445 Hijrah.

Program yang dihadiri kira-kira 211 agensi pelancongan dan penerbangan dari seluruh negara itu berlangsung dari jam 8.30 pagi sehingga 6 petang di Dewan Auditorium Andalusia, Desa Pandan, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel, Ida Riswana Idris; Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin; Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Md Daud Che Ngah; dan pemilik syarikat Momentum Internet Sdn. Bhd., Najib Asaddok.
Ida Riswana berkata, tujuan diadakan kembali klinik umrah pada tahun ini, selepas kali terakhir ia diadakan pada 2019, sebelum pandemik Covid-19; adalah untuk menyatukan semua agensi bagi berkongsi pandangan dan penambaikan ilmu kepada penggiat industri pelancongan umrah.
“Antara yang ditawarkan dalam Klinik Umrah hari ini adalah perkongsian daripada pelbagai syarikat penerbangan yang menawarkan tiket-tiket umrah,” katanya.
“Ada kalanya agensi pelancongan ini susah mendapat akses kepada tiket penerbangan. Justeru, pada hari ini kita bawakan semua syarikat penerbangan yang menawarkan tiket umrah.

“Mereka (syarikat penerbangan) akan jelaskan bagaimana cara untuk industri pelancongan umrah mendapatkan tiket penerbangan.
“Perkongsian ini penting kerana kebanyakan syarikat atau agensi pelancongan umrah masih belum lagi menerapkan elemen digital dalam pemasaran mereka,” kongsinya.
Tambah beliau, pihak Andalusia Travel juga akan mengadakan pertemuan ‘business-to-business’ dengan syarikat dan agensi pelancongan umrah yang hadir pada hari ini bagi menjelaskan pakej yang boleh diambil bersama-sama Andalusia Travel.
“Kebanyakan mereka (agensi pelancongan umrah) yang hadir adalah kerana ingin melihat bagaimana rangka kerja kami, bagaimana kami uruskan dan ingin berkongsi pandangan.
“Maka, hari ini kita dapat berkumpul bersama-sama bagi bertemu penggiat industri pelancongan yang rata-rata terdiri daripada bumiputera untuk terus berikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah haji dan umrah,” katanya.

Menjelaskan keistimewaan penerbitan brosur berkenaan pula, Ida Riswana memberitahu bahawa dari segi penampilan, ia adalah lain daripada yang lain dan terbaik pernah dihasilkan syarikat itu, dengan memasukkan semua elemen yang diperlukan dalam pakej umrah.
Menurutnya, brosur tersebut menampilkan pakej umrah Andalusia yang terbahagi kepada empat kategori.
“Kategori paling mampu milik dikenali sebagai Pakej Ekonomi iaitu jarak dari hotel penginapan ke Masjidil Haram adalah cuma 780 meter.
“Kita juga ada Pakej Sederhana iaitu paling diminati ramai kerana biarpun tidak ekonomi namun masih dekat,” jelas beliau.
Selain itu, ujarnya lagi, terdapat Pakej Jarak Dekat yang juga diminati ramai, sebab disertakan dengan pakej penginapan di Hotel Safwah; dan yang terakhir Pakej Premium, iaitu pakej mewah disertakan bersama dengan tiket kereta api.
“Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan brosur Andalusia Travel 1445H ini, boleh berkunjung ke mana-mana cawangan Andalusia di seluruh negara. Jika mahu kami poskan pun boleh atau muat naik terus di laman sesawang kami www.umrahandalusia.com,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/6/2023