Al-Quran 500 tahun sukses dipulihkan di Taiwan

Al-Quran tulisan tangan berusia 500 tahun yang berjaya dipulihkan oleh Perpustakaan Negara Taiwan (kiri) dan replika digitalnya yang dipamerkan. (FOTO: Yayasan Amal Buddha Tzu Chi)
- Advertisement -

TAIPEI: Proses pemulihan kitab suci al-Quran tulisan tangan berusia 500 tahun yang dijalankan di Perpustakaan Negara Taiwan telah berjaya diselesaikan dalam tempoh masa 35 bulan.

- Advertisement -

Yayasan Amal Buddha Tzu Chi yang berpangkalan di Taiwan berkata, pemulihan al-Quran berbentuk manuskrip setebal 500 muka surat itu, yang sangat lusuh akibat haus dan lusuh ditelah masa berjaya disempurnakan menjelang Ahad (4 Jun) lalu, lapor focus.taiwan.tw.

Al-Quran berkenaan pada asalnya telah disampaikan kepada pengasas yayasan amal berkenaan, Master Cheng Yen sebagai hadiah pada tahun 2020 oleh Faisal Hu, seorang sukarelawan Tzu Chi beragama Islam yang menetap di Turkiye.

Faisal Hu (kanan) dan pasukan dari Perpustakaan Negara Taiwan menyampaikan kitab al-Quran berusia 500 tahun yang telah berjaya dipulihkan kepada Master Cheng Yen (membelakangi kamera). (FOTO: Yayasan Amal Buddha Tzu Chi)

Namun, pada suatu hari ketika Cheng Yen sedang meneliti kandungan al-Quran itu, beliau mendapati terdapat apa yang kelihatan seperti semut pada beberapa halamannya.

Beliau lalu meminta bantuan Perpustakaan Negara Taiwan agar al-Quran itu dipulihkan oleh individu yang bertanggungjawab dalam tugasan berkenaan, iaitu seorang pemulih buku di ‘Hospital Buku’ perpustakaan berkenaan, Hsu Mei-wen, yang pakar dalam pemulihan teks kuno dan kaligrafi; serta seorang lagi sukarelawan, Wu Ying-mei, yang merupakan timbalan pengarah perpustakaan berkenaan pada masa itu.

Hsu berkata ‘semut’ itu sebenarnya adalah kumbang rokok, yang biasa ditemui dalam buku-buku lama, lalu dia menggunakan gas nitrogen untuk memusnahkan spesies kumbang berkenaan.

Hsu Mei-wen ketika sedang menjalankan kerja pemulihan kitan al-Quran berusia 500 tahun di Perpustakaan Negara Taiwan. (FOTO: Yayasan Amal Buddha Tzu Chi)

Apa yang menarik, ketika dalam proses melakukan pemulihan al-Quran itu, Hsu menyatakan bahawa walaupun bukan seorang Muslim dan juga bukan juga beragama Buddha, namun beliau memilih untuk tidak mengambil daging babi sepanjang proses pemulihan al-Quran berkenaan.

“Al-Quran yang saya pulihkan itu mengandungi 75 surah, ditulis tangan oleh empat orang berbeza menggunakan dakwat berbeza, dan disiapkan sekitar abad ke-15 atau ke-16,” jelasnya.

Tambah Hsu, beliau telah mengambil masa selama lapan bulan untuk mendapatkan bahan untuk pemulihan yang betul untuk al-Quran itu seperti gentian linen, kerana pembekal bahan berkenaan biasanya mereka tidak mempunyai jenis yang sama seperti bahan asal pada al-Quran berkenaan.

Kulit kitab al-Quran tulisan tangan berusia 500 tahun (FOTO: focus.taiwan.tw/ihsan Hsu Mei-wen 9 April 2023)

Akhirnya, dia menemui beberapa bahan di gudang perpustakaan berkenaan, yang kelihatan mudah disesuaikan dan kemudian dicelup dengan pigmen mineral untuk menjadikannya kelihatan sama dengan al-Quran asal.

Sepanjang tempoh proses pemulihan al-Quran itu, Hsu dengan berhati-hati mengekstrak habuk, biji dan rambut manusia yang didapati terselit dalam  kitab suci itu, yang kesemuanya dirancang untuk dipelihara dan dipamerkan, di samping al-Quran yang dipulihkan itu.

Secara keseluruhan, pemulihan al-Quran itu mengambil masa 35 bulan untuk siap sepenuhnya, termasuk jeda kira-kira satu setengah tahun akibat pandemik Covid-19, sebelum Hu dan pengarah perpustakaan tersebut, Tsao Tsui-ying menyerahkannya kepada Cheng Yen pada Isnin (5 Jun) lalu, yang turut dihadiri Hsu dan Wu.

Al-Quran tulisan tangan berusia 500 tahun dilihat dari jarak dekat. (FOTO: Ihsan Hsu Mei-wen 9 April 2023).

Ia adalah naskhah berbentuk buku tertua dari Barat yang dipulihkan oleh perpustakaan itu, yang menurut Tsao, kejayaan pemulihan teks agama Islam itu mempunyai kepentingan sejarah dan merupakan pengiktirafan terhadap profesionalisme dan kepakaran pasukan profesional di bawah penyeliannya.

Sementara itu, Wu mengucapkan terima kasih kepada Tsao kerana berusaha memulihkan al-Quran itu secara percuma dan menyatakan bahawa peluang yang jarang berlaku untuk membaiki peninggalan penting sejarah itu akan membantu meningkatkan profil Hospital Buku perpustakaan berkenaan. – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -