Ahli Parlimen PN prihatin isu KWSP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Walaupun usaha PERIKATAN NASIONAL (PN) supaya pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membantu rakyat yang dihimpit kesusahan ditolak, isu berkaitan KWSP masih mendapat tempat dalam kalangan Ahli Parlimen PN.

- Advertisement -

Dalam sidang Dewan Rakyat pada April lalu, usaha Ahli Parlimen PN supaya usul berkaitan pengeluaran bersasar KWSP juga ditolak oleh Timbalan Speaker menyebabkan isu yang membabitkan kepentingan rakyat tidak dapat dibahaskan.

Selepas diasak, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudian mencadangkan untuk memberi ruang kepada pencarum yang mempunyai baki akaun mencukupi dan mengalami isu ketidakcukupan tunai untuk meminjam wang dari bank dengan jaminan cagaran wang KWSP.

Ini diikuti dengan memperkenalkan Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA 2) iaitu pinjaman bank bersandarkan cagaran akaun kedua KWSP

Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) meminta Menteri Kewangan menyatakan bilangan permohonan pinjaman cagaran KWSP bagi FSA2 sehingga bulan lalu serta jumlah permohonan yang telah diluluskan mengikut kategori isi rumah.

Beliau juga meminta penjelasan mengenai implikasi kewangan kepada pencarum jika mereka gagal atau tidak mampu melunaskan pembayaran balik pinjaman.

Soalan nombor 10 Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang dijangka akan dijawab Menteri Kewangan atau timbalannya, berbanding sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) yang mesti dijawab oleh menteri berkaitan.

Sementara itu Ahli Parlimen dari Kelantan, Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) membangkitkan isu antarabangsa dengan meminta Menteri Luar Negeri menyatakan sokongan dan inisiatif jangka pendek dan panjang Wisma Putra terhadap Kerajaan Afghanistan.

Ini terutama bagi mengukuhkan institusi pentadbiran dan memberdayakan potensi dan penglibatan wanita dan pendidikan kanak-kanak dalam memacu pembangunan negara tersebut.

Soalan nombor 20 juga menarik jika sempat ditanya, iaitu Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan kajian terhadap impak bagi terumbu karang, kawasan perikanan dan rumpai laut yang akan terjejas termasuk kepada negeri Kedah dan Perak jika projek tambakan laut bagi pembangunan tiga pulau buatan di Pulau Pinang diteruskan.

April lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang membabitkan penambakan laut secara besar-besaran di negeri itu, akhirnya mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Bagaimanapun, projek itu mendapat banyak bantahan pelbagai pihak termasuk komuniti nelayan, aktivis alam sekitar dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bimbang projek itu akan memusnahkan eko-sistem marin kawasan berhampiran.

Tiga soalan dari Putrajaya, Tumpat dan Sik adalah antara 10 soalan teratas Ahli Parlimen PN ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan. Baki tujuh soalan adalah seperti berikut:

Dato’ Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) minta Menteri Sumber Manusia menyatakan usaha kerajaan untuk menangani masalah pengangguran dalam kalangan belia kerana pekerjaan tidak setimpal dengan bidang pengajian, kekurangan bakat selain isu kualiti serta kuantiti pekerjaan.

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) minta Menteri Kewangan menyatakan pertimbangan serta usaha kerajaan dalam memperhalusi semula geran perkapita berdasarkan Bahagian I Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) minta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan apakah bentuk kerjasama merentasi agensi untuk menarik minat anak-anak muda tempatan menceburi bidang perladangan/sektor separa mahir serta melahirkan lebih ramai agropreneur muda, sekali gus mengatasi isu kebergantungan serta lambakan tenaga kerja asing di negara kita.

Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah proaktif yang sedang dirangka oleh kementerian bagi menangani isu lambakan sayur-sayuran dan buah-buahan yang terbazir dan sejauh manakah pembangunan data tentang tingkah laku pasaran dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengekang isu pembaziran ini.

Che Alias Hamid (PN-Kemaman) minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan:-
(a) jumlah terkini pemasangan solar di pejabat Kementerian, pasaraya, hotel, rumah ibadah dan kediaman; dan
(b) sejauh mana kajian dilakukan bagi mewujudkan subsidi pemasangan panel solar di kediaman kepada golongan B40 memandangkan pemasangan panel solar yang masih tinggi walaupun inisiatif NEM 3.0 diperkenalkan.

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) minta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan status pelaksanaan projek BioCNG (gas asli daripada kelapa sawit) dan berapa jumlah perbelanjaan kerajaan sejak bermula pada tahun 2018 hingga kini.

Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu) minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan perancangan kementerian untuk memastikan agar syarikat yang telah dikenal pasti dan berpotensi untuk mendapat status unicorn atau decacorn mengekalkan ibu pejabat dan operasi mereka di negara kita. – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -