Warga emas terlantar sendirian perlu dibantu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) meminta penjelasan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkaitan program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) bagi membantu golongan warga emas di pedalaman.

- Advertisement -

“Kebanyakan warga emas yang terlantar sakit bersendirian berlaku di kampung atau pedalaman, jadi apakah langkah kementerian bagi memastikan strategik pelaksanaan program KBDR ini berjaya dilaksanakan dengan memberi tumpuan di pedalaman atau kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Abd Ghani juga meminta KPWKM menyatakan status Rang Undang-Undang Warga Emas.

“Apakah intipati kandungan atau pendekatan bagi mewujudkan satu akta khusus untuk warga emas di Malaysia dan bilakah kerajaan bercadang untuk membentangkan RUU warga emas ini.

“Selain itu, model negara manakah yang bakal diambil sebagai model kepada warga emas untuk dilaksanakan di negara kita,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu menerima rungutan berkenaan pengurangan dan pemotongan bantuan bulanan yang diterima oleh warga emas.

“Mengenai bantuan kewangan, terdapat rungutan dari waris, bahkan warga emas itu sendiri yang menyebut bahawa bantuan bulanan yang diterima semakin dikurangkan dan ada yang dipotong dan tidak disambung lagi oleh JKM,” katanya.

Menjawab persoalan ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, program KBDR adalah antara inisiatif yang diperkenalkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama rakan kolaborasi strategik.

“Antaranya ialah Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia (MPKSM) yang memberi khidmat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Labuan.

“Kedua, Persatuan Usia Emas SeMalaysia di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/6/2023

- Advertisement -