KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak menolak kemungkinan tindakan kerajaan membawa usul agar Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 dibahaskan, bertujuan untuk ‘menghalang’ usul persendirian yang dibawa pembangkang dibahaskan di Dewan Rakyat.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata: “Itulah kita tak nampak rasional kenapa kerajaan sebelum ini tidak pernah membentangkan untuk dibahaskan (LKAN), hanya letak atas meja… berkemungkinan kami membayangkan kerana tak ada Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan.
“Jadi bila dah tiada, tak akan nak tangguhkan (persidangan) dewan pukul 1?
“Kita ada satu RUU persendirian. Kita mengesahkan (halang usul persendirian pembangkang) mungkin begitu. Kita ada satu RUU persendirian di bawah ‘standing order’ 49 tetapi sehingga hari ini tidak disahkan ia akan diangkat,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, tindakan kerajaan bercanggah dengan Perkara 107 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan kerana LKAN perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat.
Mengikut amalan dalam Parlimen Malaysia, katanya LKAN tidak pernah dibahaskan di Dewan Rakyat dan sebaliknya jika terdapat teguran oleh Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bertanggungjawab memanggil saksi-saksi termasuk menteri untuk memberikan keterangan.
Sehubungan itu, katanya blok pembangkang agak kecewa kerana timbalan speaker membuat keputusan membenarkan usul LKAN dibawa untuk dibahaskan.
“Lalu kami di pihak pembangkang, oleh kerana kami melihat di dalam usul ini, (tertera) di para akhir supaya dewan yang mulia ini, semua pihak menyokong (laporan) audit.
“(Maka) kami memang menyokong dan menghormati laporan audit yang dibuat secara telus dan mengatakan tak perlu dibahaskan serta menyokong (segala cadangan) yang dikemukakan dalam laporan berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2023