Status projek rintis klinik dapat perhatian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan secara terperinci status projek rintis Klinik Kesihatan Bandar Botanik bagi mengurangkan kesesakan pesakit.

- Advertisement -

Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, projek itu adalah inisiatif yang dicadangkan oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR).

“Bilakah projek rintis ini akan dimulakan di lima klinik kesihatan terpilih atau pun sudah digunakan?

“Mungkin saya perlukan perincian atau status terkini cadangan-cadangan inisiatif yang dicadangkan oleh STAR, sehingga ke peringkat ini yang bersifat segera, jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor meminta kerajaan menyatakan status program rintis Skim Perubatan Madani.

Katanya, program itu juga memberi impak bagi mengurangkan kesesakan hospital dan klinik kerajaan serta memberikan insentif kepada kumpulan B40.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata projek rintis yang membabitkan lima klinik kesihatan telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan dengan segera.

“Berkenaan Skim Perubatan Madani, kita akan mulakan segera dan sekarang di peringkat akhir. Kita telah melakukan libat urus, termasuk dengan klinik swasta dan Insya-Allah, kita akan melakukan pelancarannya pada bulan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2023

- Advertisement -