Soalan kontroversi Lim Guan Eng, soalan PRN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) membantah keras soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang menyasarkan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana melanggar Peraturan Mesyuarat.

- Advertisement -

Ketika Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 23(1)(C), iaitu sesuatu pertanyaan itu tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, puji atau keji atau mengandungi kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakitkan hati atau mengenai apa-apa perkara meminta penerangan mengenai perkara remeh.

Bagaimanapun, katanya soalan Guan Eng jelas mempunyai elemen yang dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat itu seperti ayat `yang telah memecah-belahkan perpaduan rakyat’ yang ternyata satu andaian dan sangkaan.

Begitu juga, katanya ayat `Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah’ adalah berasaskan fakta yang tidak tepat.

Mengikut teks soalan, Guan Eng bertanya: “minta Perdana Menteri menyatakan tindakan ke atas gesaan Menteri Besar Kedah, bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah, yang telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan di kalangan penduduk negeri Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara”.

“Soalan saya, adakah Yang Berhormat Tan Sri (Johari Abdul) sebagai Speaker Dewan Rakyat telah mengambil kira Perkara 23(1)(C) Peraturan Dewan Rakyat sebelum soalan ini dibenarkan dikemukakan kerana soalan ini bercanggah dengan Perkara 23 (1) (C),” katanya.

Bagaimanapun, Johari berkata: “Saya telah melihat soalan ini dan tidak bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh Beluran.”

Ahli Parlimen Beluran yang tidak bersetuju berkata: “Yang Berhormat (YB), nampak soalan ini soalan PRN (Pilihan Raya Negeri), YB dan tidak sepatutnya dikeluarkan dalam Dewan Rakyat.”

Johari pula berkata: “Biarlah menteri jawab dan (soalan ini) tidak bercanggah seperti apa yang saya fahami.”

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) dan Dato’ Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) juga mempersoalkan soalan Guan Eng, namun Johari tetap bertegas dengan menyatakan bahawa soalan itu boleh ditanya dan meminta Guan Eng meneruskan pertanyaan. – HARAKAHDAILY 6/6/2023

- Advertisement -