Program Peneman bantu jemaah haji yang memerlukan

- Advertisement -

MAKKAH: Ahli keluarga jemaah haji khususnya warga emas dan tiada peneman di Tanah Suci boleh menarik nafas lega apabila Tabung Haji (TH) mewujudkan program Prihatin Tetamu Ar Rahman (Peneman) bagi membantu mereka ketika waktu kemuncak haji di Arafah, Mina dan Muzdalifah.

- Advertisement -

Pengurus Kaunseling bagi musim haji 1444 Hijrah, Mohamad Hanif Napi berkata menerusi program itu, jemaah haji yang terpilih antaranya akan diberikan bantuan iringan termasuk ke tandas selain melaksanakan ibadat.

“Antara kategori yang kita tetapkan untuk pemilihan dalam program Peneman ini ialah jemaah haji berumur 70 tahun ke atas, mereka yang tiada pengiring dan dari aspek kesihatan pula, mereka bukan sakit terlantar atau kronik,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pihaknya akan melakukan saringan terhadap pencalonan yang dibuat pengurusan maktab penginapan jemaah haji, sebelum sesi temu duga dijalankan oleh panel bagi memilih peserta program berkenaan.

Menurutnya panel pemilihan yang terdiri daripada pakar perubatan, Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas) dan kaunselor dijangka memilih peserta program berkenaan pada 19 Jun ini.

Dalam pada itu, Mohamad Hanif berkata pihaknya turut melaksanakan Lawatan Silaturrahim iaitu kunjungan dari bilik ke bilik sebagai inisiatif menguruskan kesihatan mental jemaah haji yang antaranya berdepan masalah dengan rakan sebilik, selain masalah melibatkan hubungan suami isteri.

Beliau berkata pihaknya juga memperkenalkan sudut ekspresi diri dengan menyediakan kertas melukis dan mewarna serta bola stres sebagai terapi kepada jemaah. – BERNAMA

- Advertisement -