Polis Malaysia tahan suspek kejar pemandu Singapura

Tangkapan skrin Facebook menunjuk pemandu Singapura yang dikatakan dikejar oleh kereta 'polis palsu' di Lebuh Raya Utara-Selatan pada 5 Jun 2023. (FOTO: Facebook Freeman Gan WT)

SINGAPURA: Polis Malaysia dilaporkan telah menahan dua lelaki yang disyaki menyamar sebagai anggota polis dalam adegan kejar-mengejar kereta lebuh raya ekspres membabitkan seorang pemandu warga Singapura yang dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands.

Advertisement

Siasatan dijalankan selepas pihak polis Kulai, Johor menerima laporan pada Isnin, semalam (5 Jun) berhubung rakaman kejadian yang dikongsi secara meluas di media sosial, lapor CNA.

Kejadian dipercayai berlaku di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Sedenak di Kulai.

Laporan itu menyebut bahawa Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi hari ini, Selasa (6 Jun)  mengesahkan bahawa  dua lelaki warga Malaysia, masing-masing berusia 43 dan 48 tahun ditahan dalam operasi polis pada pukul 6 petang hari semalam.

“Salah seorang suspek adalah penjawat awam,” kata Kamarul Zaman, tanpa menyatakan butirannya yang menambah bahawa berdasarkan rekod polis, seorang daripada dua lelaki yang ditahan itu sebelum ini disabitkan dengan kesalahan berkaitan dadah.

Beliau turut berkata, dalam tangkapan itu, polis turut merampas lampu suar mudah alih, jaket pemantul, lampu suluh, lampu hadapan serta sebuah kereta Honda City.

Menurut Kamarul Zaman, kedua-dua suspek bermungkinan akan didakwa mengikut seksyen 170 kanun keseksaan. Jika didapati bersalah, suspek boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, suspek juga boleh didakwa mengikut Seksyen 135 Akta Kastam yang menyatakan jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun berserta denda.

Video kejadian itu yang menjadi viral telah dimuat naik di Facebook oleh pengguna Freeman Gan WT, yang menunjukkan lelaki itu dikejar oleh tiga lelaki di dalam sebuah kereta berwarna kelabu.

Kejadian itu, menurut laporan CNA itu lagi, berlaku kira-kira jam 5.40 pagi semalam di Kulai, ketika mangsa sedang membawa rakannya dari Singapura ke Genting Highlands apabila dia menyedari terdapat sebuah kereta mengekori kereta yang dipandunya itu.

“Saya meneruskan pemanduan, kira-kira 37 kilometer, kereta itu berada di sebelah saya semula. Dan ia memancarkan cahaya biru, saya fikir ia adalah polis dan akan berhenti,” kongsinya.

Bagaimanapun, dia mula curiga apabila teringat bagaimana kereta itu mengekorinya dalam kelajuan yang berbeza-beza. 

Mangsa kemudian memaklumkan kepada rakannya bahawa mereka mungkin berhadapan dengan ‘polis palsu’ sebelum dia kemudian memutuskan untuk ‘berlumba’ dengan kereta suspek bagi menghalangnya daripada berhenti di hadapan keretanya.

Lelaki itu menulis dalam catatan Facebooknya bahawa dia kemudiannya menghubungi polis, yang menasihatkannya supaya tidak berhenti di lebuh raya dan sebaliknya pergi ke balai polis terdekat jika kereta itu terus mengekori kereta yang dipandunya. – HARAKAHDAILY 6/6/2023