Majikan digesa daftar, bayar caruman – Perkeso

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyeru majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum perusahaan serta pekerja masing-masing supaya segera berbuat demikian sebelum tindakan penguatkuasaan diambil mulai 1 Julai ini.

- Advertisement -

Perkeso melalui kenyataan hari ini memaklumkan majikan masih berpeluang untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan sekiranya ada kelewatan susulan Bulan Pemutihan untuk perkara itu yang bermula Mei hingga Jun.

Perkeso turut memberitahu selepas berakhir tempoh pemutihan, pihaknya akan melancarkan Op Kesan bagi menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) ke atas majikan dan pekerja bermula Julai ini.

“Adalah penting akta-akta dipatuhi demi menjamin perlindungan keselamatan sosial kepada semua pekerja termasuk pekerja asing di Malaysia

“Op Kesan kali ke-14 ini bertujuan memastikan semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja (tanpa mengira jumlah gaji) mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka sebagaimana peruntukan Seksyen 4 dan 5 Akta 4 serta Seksyen 14 dan 16 Akta 800,” menurut pertubuhan itu.

Perkeso menjelaskan kegagalan majikan mendaftarkan perusahaan dan pekerja boleh dikenakan tindakan kompaun serta pendakwaan di bawah Akta 4 dan Akta 800 iaitu jumlah kompaun yang dikenakan mencecah hingga RM5,000 mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.

“Bagi majikan yang gagal membayar kompaun, mereka boleh dikenakan tindakan pendakwaan di mahkamah dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, majikan yang lewat mendaftar dan mencarum juga akan dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam peratus setahun atas setiap hari caruman lewat dibayar.

Menurut kenyataan itu juga, Perkeso tidak akan berkompromi dengan ketidakpatuhan majikan dan tidak akan mempertimbangkan pengecualian daripada tindakan penguatkuasaan terhadap majikan terbabit jika masih gagal berbuat demikian dalam tempoh pemutihan.

“Perkeso menyeru semua majikan yang layak tetapi masih belum mendaftar dan mencarum supaya segera berbuat demikian secara sukarela sama ada menerusi Portal ASSIST atau hadir ke mana-mana 54 pejabat Perkeso di seluruh negara, agar tidak dikenakan tindakan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

- Advertisement -