Kejatuhan ringgit jejas rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan sewajar terhadap kejatuhan nilai ringgit yang memberi kesan terhadap kehidupan serta peningkatan kos sara hidup rakyat.

- Advertisement -

Datuk Dr Mohd Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, situasi tersebut berlaku susulan peningkatan kos harga komponen dan barangan termasuk bahan makanan mentah yang diimport dari luar negara.

Beliau berkata, kerajaan masih bergantung kepada barangan luar negara yang merupakan punca utama kejatuhan nilai mata wang tempatan serta kenaikan harga barangan.

“Kita tahu kejatuhan nilai ringgit memberi kesan peningkatan harga komponen dan barangan termasuk bahan makanan import, kos kepada sektor pengilangan dan pembuatan akan meningkat.

“Kos sara hidup pula, kejatuhan ringgit menyebabkan kenaikan harga makanan dan barangan yang diimport, ini juga membebankan rakyat,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ketika menjawab persoalan ini mengakui tahap kebergantungan kerajaan terhadap bahan luar negara masih tinggi, terutama sektor pertanian dan penternakan.

Justeru, beliau meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi perhatian serius serta merangka penyelesaian terhadap permasalahan tersebut.

“Saya setuju saranan Putrajaya mengenai kenyataan bahawa ada kesan inflasi diimport kerana kita masih mengimport bahan makanan agak tinggi termasuk feedlot penternakan.

“Ini menyebabkan kos menjadi menjadi meningkat, tetapi ini dipantau oleh kementerian berkenaan, seperti mana yang kita lihat masalah ayam dan telur tidak separah tahun lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2023

- Advertisement -