KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mempertikaikan kegagalan kerajaan melantik Ketua Audit Negara, jawatan yang kosong hampir empat bulan.
Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, kegagalan mengisi kekosongan itu menghairankan kerana pada masa sama, kerajaan mahu membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 di Dewan Rakyat.
Katanya, perkara yang patut diberi perhatian oleh kerajaan ialah mengisi jawatan Ketua Audit Negara yang kosong bagi suatu tempoh lama.

“Bagaimana kita nak bincang soal ini (bahas LKAN 2021) kalau Ketua Audit Negara pun tidak ada?” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Pelantikan Ketua Audit Negara, jawatan yang termaktub dalam Perlembagaan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Sementara itu pada sidang media sama, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa kegagalan kerajaan melantik ketua audit yang baharu kerana “takut diaudit”.
“Nampak kerajaan pada hari ini takut diaudit. Sebab itu tak lantik Ketua Audit Negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2023