Isu Kedah-Pulau Pinang hangatkan Dewan Rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang terus panas apabila sekali lagi dibawa ke sidang Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mengemukakan soalan berhubung isu itu kepada Perdana Menteri.

Dalam soalan pertama sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, beliau meminta Perdana Menteri menyatakan tindakan ke atas gesaan Menteri Besar Kedah, bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah.

Guan Eng mendakwa ini telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan di kalangan penduduk negeri Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.

Namun, ini bukan kali pertama pemimpin DAP itu membangkit isu yang sama di Dewan Rakyat. Februari lalu, beliau menimbulkan kekecohan apabila `menyerang’ Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan enggan memberi laluan apabila Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) lain mohon mencelah.

Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) ketika itu, mempertahankan Menteri Besar Kedah berhubung isu bayaran pajakan Pulau Pinang terhadap negeri itu dengan berhujah ia bukan soal melanggar kedaulatan mana-mana pihak.

Menurut Ahmad, Muhammad Sanusi sebagai selaku pemimpin utama kerajaan Kedah perlu menuntut hak negeri dan rakyat negeri itu.

Sementara itu bagi sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, antara soalan yang ditanya oleh Ahli Parlimen PN ialah pelajar yang mendapat tajaan MARA.

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang juga Naib Presiden PAS meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan statistik peratusan pelajar yang mendapat tajaan MARA, terutama di luar negara kembali berkhidmat di Malaysia selepas menamatkan pengajian.

Menteri yang sama juga diminta oleh Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari, untuk menyatakan tindakan kementerian itu, terutama melalui RISDA bagi membantu pekebun kecil getah seluruh negara menghadapi cuaca panas yang panjang yang akan mengurangkan produktiviti tanaman getah.

Isu berkaitan pelajar mendapat perhatian Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan secara terperinci jumlah pelajar yang menduduki peperiksaan SPM untuk setiap tahun sejak 2018 hingga sekarang dan jumlah pelajar yang berjaya diterima untuk meneruskan pelajaran ke peringkat IPT.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) pula memfokuskan isu berkaitan perkhidmatan kesihatan di negeri itu.

Beliau meminta Menteri Kesihatan menyatakan anggaran implikasi kewangan projek rintis Klinik Kesihatan Bandar Botanik; serta maklumat lengkap masa menunggu di klinik, jumlah pesakit dan kakitangan yang terlibat.

Soalan lain Ahli Parlimen PN dalam kelompok 20 soalan teratas Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan ialah seperti berikut:

Roslan Hashim (PN Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Pendidikan menyatakan apa langkah yang diambil oleh kementerian terhadap pengukuhan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Berasaskan Darjah (PBD), yakni susulan pemansuhan PT3 termasuk kualiti aktiviti pembelajaran yang dilaksanakan.

Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan Indeks Perpaduan Nasional Negara dan apakah situasi perpaduan negara pada masa ini. Apakah jenis program yang efektif, yang telah dirancangkan oleh Kementerian untuk mengeratkan lagi perpaduan, persefahaman dan penerimaan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan langkah segera dan strategi yang berkesan dalam membantu warga emas yang lebih suka tinggal bersendirian di rumah berbanding tinggal bersama ahli keluarga atau di Pusat Jagaan Warga Emas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada aspek keselamatan, rawatan kesihatan dan kewangan agar diri mereka sentiasa terkawal.

Kapten (B) Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) minta Menteri Kesihatan menyatakan isu lambakan doktor dan tindakan kementerian dan kerajaan MADANI mengenainya.

Sabri Azit (PN-Jerai) minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan sejauh mana keberkesanan kod sukan selamat yang dilancarkan pada Mac lalu.

Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah usaha untuk membantu golongan B40 di seluruh negara terutama anak muda untuk mendapatkan rumah mesra rakyat/rumah mampu milik. – HARAKAHDAILY 6/6/2023

- Advertisement -