Inilah legasi Tok Guru

- Advertisement -

INSTITUT Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG) menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perkenan menganugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Almarhum Tok Guru Dato’ Bentara Setia Tan Sri Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

- Advertisement -

Anugerah ini merupakan satu penghargaan kepada jasa-jasa Tok Guru sepanjang hayat beliau khususnya di Kelantan dan Malaysia amnya. Jasa-jasa Tok Guru sepanjang hidup beliau amat besar dan merentasi pelbagai segmen. Banyak pihak telah berkongsi dan mencoret pelbagai jasa dan sumbangan beliau namun begitu tulisan ringkas ini berhasrat untuk memberi tumpuan kepada jasa-jasa Tok Guru yang mungkin ramai pihak terlepas pandang.

Membangun Bersama Islam yang digagaskan oleh Tok Guru merupakan satu tajdid (pembaharuan) dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. Tok Guru ingin membawa seluruh rakyat Negeri Kelantan untuk mencapai kebahagian dunia dan akhirat. Tok Guru yakin pemimpin dan rakyat akan bersekali di dunia dan akhirat sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُوْلَٰٓئِكَ مَعَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ وَٱلصِّدِّيقِينَ وَٱلشُّهَدَآءِ وَٱلصَّٰلِحِينَۚ وَحَسُنَ أُوْلَٰٓئِكَ رَفِيقٗا 

Maksudnya: Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat). [al-Nisa’:69]

Oleh kerana itulah Tok Guru melaksanakan Membangun Bersama Islam apabila menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan pada 1990. Asas Membangun Bersama Islam bukanlah suatu perkara baharu yang direka oleh Tok Guru sebaliknya merupakan legasi para nabi dan rasul.

Nabi Adam AS dilantik oleh Allah SWT sebagai khalifah untuk mentadbir dan mengurus kehidupan berdasarkan kepada kerangka yang diturunkan oleh Allah SWT. Begitu juga dengan Nabi Daud AS dan anaknya Nabi Sulaiman AS yang diberikan kekuasaan pemerintahan yang sangat hebat. Firman Allah SWT:

يَٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَٰكَ خَلِيفَةٗ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابٞ شَدِيدُۢ بِمَا نَسُواْ يَوۡمَ ٱلۡحِسَابِ 

Maksudnya: Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu. [Sad: 26]

Jelaslah bahawa mengurus dan mentadbir adalah perlu berdasarkan syariat yang diturunkan oleh Allah SWT. Namun begitu terdapat juga pemimpin yang tidak menjalankan pentadbiran berlandaskan panduan wahyu antaranya Firaun dan Namruz. Kisah Firaun dirakamkan oleh Allah SWT:

وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بِ‍َٔايَٰتِنَا وَسُلۡطَٰنٖ مُّبِينٍ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ وَمَلَإِيْهِۦ فَٱتَّبَعُوٓاْ أَمۡرَ فِرۡعَوۡنَۖ وَمَآ أَمۡرُ فِرۡعَوۡنَ بِرَشِيدٖ يَقۡدُمُ قَوۡمَهُۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ فَأَوۡرَدَهُمُ ٱلنَّارَۖ وَبِئۡسَ ٱلۡوِرۡدُ ٱلۡمَوۡرُودُ وَأُتۡبِعُواْ فِي هَٰذِهِۦ لَعۡنَةٗ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ بِئۡسَ ٱلرِّفۡدُ ٱلۡمَرۡفُودُ 

Maksudnya: Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan Nabi Musa dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami, dan bukti (mukjizat) yang nyata: Kepada Firaun dan kaumnya; lalu kaum Firaun menurut perintah Firaun, sedang perintahnya itu bukanlah perintah yang betul. Firaun akan mengetuai kaumnya pada hari kiamat kemudian tetaplah ia akan membawa mereka masuk ke neraka. Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka. Dan mereka diiringi oleh laknat yang tidak putus-putus di dunia ini, dan pada hari kiamat. (Sebenarnya) laknat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan. [Hud: 96-99]

Pentadbiran berasaskan Islam yang dilaksanakan oleh para nabi terdahulu diteruskan oleh Nabi Muhammad SAW dengan membentuk pemerintahan berdasarkan kepada wahyu Allah SWT sehingga akhir hayat Baginda. Pemerintah berasaskan Islam kemudiannya diteruskan oleh Khulafa’ al-Rasyidin, seterusnya disusuli oleh para khalifah lainya; Umayyah, Abbasiyyah, Uthmaniyyah dan lain-lain lagi.

Tanah Melayu juga tidak terkecuali dalam melaksanakan pemerintahan berdasarkan Islam oleh para Sultan. Kelantan khususnya mempunyai sejarah pentadbiran Islam yang cukup panjang. Sultan Kelantan yang pertama juga mempunyai pengaruh Islam yang dapat dilihat melalui namanya iaitu Sultan Iskandar Shah memerintah sekitar 1418M (kira-kira 600 tahun yang lalu) berpusat di Neggiri. Begitu juga penemuan syiling emas Kelantan bertulisan Arab yang tercatat 577H (bersamaan 1181M; kira-kira 842 tahun yang lalu). Pada ketika itu Kelantan merupakan sebahagian daripada Kerajaan Jawaka.

Ringkasnya, 200 tahun yang terakhir ini, Sultan Muhammad 1 (1800-1835), Sultan Muhammad II (1837-1886), Sultan Ahmad (1886-1889), Sultan Muhammad III (1889-1890); melaksanakan pentadbiran berasaskan Islam. Kemuncak pelaksanaan undang-undang berasaskan Islam berlaku semasa pemerintahan Sultan Mansor (1890-1899). Baginda menubuhkan ‘Mahkamah Negeri Kelantan’ dan melantik Syed Muhammad bin Syed Alwi bin Syed Yahya sebagai hakim. Baginda menguatkuasakan hukum hudud, qisas dan takzir. Legasi pemerintahan berasaskan Islam diteruskan oleh Sultan-Sultan Kelantan sehingga hari ini.

Namun penjajahan  dan pendudukan kuasa asing menyebabkan bidang kuasa pentadbiran Islam merosot. Perjanjian Bangkok 1909 menyaksikan kehadiran penasihat British, John Scott Mason ke Kelantan. Antara tindakan utama beliau ialah menggantikan hakim Melayu Islam kepada H.W. Thompson sekaligus mengecilkan bidang kuasa pentadbiran Islam terhad kepada pentadbiran keluarga sahaja.

Berakhirnya penjajahan pada 1957 membuka jalan baharu. Pilihanraya Umum pertama 1959 menyaksikan Kelantan ditadbir oleh PAS pada 1959 sehingga 1978. Kepimpinan Negeri Kelantan pada ketika itu melaksanakan pelbagai tindakan sesuai dengan ajaran Islam antaranya:

1. Memberi bantuan kewangan kepada pondok dan sekolah agama
2. Melantik guru-guru agama di sekolah kerajaan
3. Menubuhkan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri
4. Menubuhkan Jabatan Sekolah-Sekolah Agama (sekarang Yayasan Islam Kelantan)
5. Menubuhkan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC/PKINK)

Pada masa yang sama Kerajaan Negeri membanteras  amalan yang bertentangan dengan syariat Islam antaranya:

1. Mengharamkan tradisi puja pantai
2. Membanteras perjudian, laga lembu dan sabung ayam
3. Menutup Biarits Park (Show Wakaf Siku)
4. Melantik Pegawai Mubaligh dan Mubalighah (sekarang Pegawai Dakwah Halaqat)

Apabila Tok Guru menjadi Menteri Besar Kelantan pada 1990, beliau menggagaskan Membangun Bersama Islam; menghimpunkan segalanya melalui tiga tonggak utama; Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI):

Ubudiyyah bermaksud pengabdian kepada Allah SWT. Pentadbiran negeri juga negara begitu juga semua perbuatan, pekerjaan dan amalan hendaklah dilaksanakan sebagai pengabdian kepada Allah SWT.

Manakala Mas’uliyyah pula bermaksud kebertanggungjawaban iaitu segala kerja yang dilakukan termasuk pekerjaan harian sama ada di rumah, pejabat dan di mana-mana sahaja akan dicatat, dihitung, disoal dan diberi ganjaran ataupun balasan oleh Allah SWT.

Seterusnya Itqan yang bermaksud kualiti kerja. Kualiti kerja boleh dilihat menerusi ketekunan, komitmen dan kesungguhan dalam melaksanakan kerja.

Inilah asas yang dipegang oleh Tok Guru sehingga menjadikan beliau seorang insan yang hebat melaui pelbagai cabarn dan halangan sepanjang. 23 tahun sebagai Menteri Besar Kelantan.

Seawal Tok Guru dilantik sebagai Menteri Besar, Kelantan diberikan tekanan dari segenap arah dengan mengenepikan semangat Persekutuan (Federalisme) termasuk diskriminasi bekalan air, penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan serta dinafikan hak mendapat royalti petroleum. Tok Guru cukup tegas dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Kelantan:

“Royalti hak Kelantan. Kenapa negeri lain boleh, Sarawak boleh (dapat) royalti, Sabah boleh (dapat) royalti, Terengganu boleh (dapat) royalti. Kenapa Kelantan tak boleh. Berdosa dunia akhirat. Dia (kerajaan) mesti beri.

“Saya nak soal, kenapa Kelantan sahaja yang ada JPP? Kerana apa? Dia tak percaya dengan pegawai kerajaan ke? Duit bukan beri pada saya tetapi beri pada setiausaha kerajaan (negeri) dan pegawai kewangan kerajaan.

“Kenapa tak beri (wang royalti)? (Ini perbuatan) khianat. Jahat. Tak selamat. Berdosa dunia akhirat. Saya tak izin satu sen pun. Saya tak izin sebagai ketua kerajaan. saya tak izin.”

2013, Tok Guru mengundurkan diri. Memberi laluan kepada pengganti yang dipilihnya sendiri, YAB Dato’ Bentara Kanan Dato’ Ahmad bin Yakob untuk meneruskan perjuangan beliau. Membangun Bersama Islam terus diperkasa dengan Merakyat Membangun Bersama Islam agar seluruh rakyat Negeri Kelantan memahami dan melaksanakannya dalam seluruh kehidupan. Dato’ Ahmad terus mengorak langkah ke hadapan berbekalkan legasi Tok Guru dengan memperkenalkan Kelantan Melangkah Ke Hadapan: Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan.

Inilah jalan Tok Guru. Inilah legasi Tok Guru.

PROFESOR EMERITUS DATO’ DR. JOHARI MAT
Pengarah
Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia – HARAKAHDAILY 6/6/2023

- Advertisement -