Cuaca panas jejas pekebun kecil getah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cuaca panas sekarang menyebabkan kerajaan diminta menjelaskan pelan tindakan untuk membantu pekebun kecil getah berhadapan situasi itu.

- Advertisement -

Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berkata, cuaca panas yang panjang dijangka akan mengurangkan hasil pengeluaran tanaman getah, sekali gus menjejaskan mata pencarian golongan itu.

“Minta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menyatakan tindakan bagi membantu pekebun terlibat.

“Khususnya ketika ini seluruh negara sedang menghadapi cuaca panas yang panjang dan ini akan mengurangkan produktiviti tanaman getah,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan itu, Timbalan Menterinya, Dato’ Rubiah Wang berkata, pihaknya sentiasa prihatin dan sedar nasib yang pekebun kecil getah alami.

Malah agensi kerajaan, Risda bekerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mendapatkan maklumat sebenar.

Selain itu, Risda melaksanakan Skim Getah Matang (SGM) iaitu membekalkan input pertanian seperti baja serta program latihan dan bimbingan kepada pekebun kecil.

“Skim ini bagi membantu pekebun getah menghadapi penurunan hasil getah, serta tanaman mereka mendapat bekalan nutrien mencukupi selain menggalakkan pengeluaran susu getah.

“Kita juga giat melaksanakan program latihan untuk memastikan mereka konsisten mengamalkan amalan pertanian yang baik lebih-lebih lagi ketika cuaca panas sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2023

- Advertisement -