`Ppakat Pertahan’ Kelantan terus legasi Tok Guru

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri yang dibina oleh kepimpinan ulama diketuai Almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat patut dipertahankan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

- Advertisement -

Isteri almarhum Puan Sri Tuan Sabariah Tuan Ishak berkata, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1990, PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah mentadbir Kelantan dan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik sebagai Menteri Besar.

“Sumbangan almarhum Tuan Guru dalam perjuangan tanpa penat lelah bagi menegakkan agama Islam dalam kehidupan rakyat dan pentadbiran negara,” katanya kepada team Medsos Harakahdaily di sini.

Hari ini bekas Mursyidul Am PAS itu menerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Penerima darjah tersebut didahului Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Johari Abdul.

Tuan Sabariah juga berkata, PAS Kelantan turut melancarkan tema ‘Ppakat Pertahan’ sebagai usaha untuk mempertahankan legasi kepimpinan ulama lebih 30 tahun lalu.

“Nasihat saya ‘Ppakat Pertahan’ kerajaan PAS di Kelantan kerana ia adalah legasi Tuan Guru yang mesti dipertahankan dan perjuangan PAS kekal dengan Islam insyaAllah,” katanya.

Menurutnya juga pengiktirafan darjah kebesaran tersebut dianggap sebagai penghargaan kepada pemimpin PAS yang tidak pernah lelah berjuang memartabatkan Islam dan Melayu.

“Anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada PAS dan perjuangannya. Saya doakan PAS terus menjadi pilihan terbaik rakyat. Ia adalah harapan dan doa Tuan Guru sepanjang hayatnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2023

- Advertisement -