Melayu mesti jadi tonggak, bukannya ditunggangi

Kehidupan kaum-kaum lain pasti mendapat keadilan bersama

- Advertisement -

TANJONG KARANG: Melayu mesti terus menjadi tonggak kepada kerajaan dan negara ini, bukan sebaliknya ditunggangi untuk kepentingan politik sebagaimana dilakukan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Kerana dengan Melayu sebagai tonggak tersebut, keadilan yang sebenar pasti juga akan dapat diberikan kepada setiap kaum dalam negara ini serta membawa keamanan dan kemakmuran untuk semua.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bagaimanapun memperingatkan, Melayu itu mestilah bukan yang korup seperti terdapat dalam koalisi gabungan PH-BN.

Penyataan itu ditegaskan beliau ketika berucap pada Ceramah Perdana PN Selangor sempena program Jelajah Selangor Baharu yang diadakan di Kompleks PAS Tanjong Karang, di sini malam tadi.

“Ini Melayu yang bersih, yang bertanggungjawab, yang berintegriti, kita adil kepada orang Cina, orang India dan rakyat Malaysia supaya negeri Selangor aman dan makmur,” ujar beliau.

Azmin memberitahu, semasa beliau sebagai Menteri Besar dahulu, banyak diselesaikan masalah tanah dan pendudukan di mana sebelumnya ada yang mendiami atau mengusahakan tanah puluhan tahun tanpa diberi pemilikan.

Menurut beliau, kerajaan bertanggungjawab membela di mana hanya menguruskan tanah untuk diberi kepada rakyat dan tidak sepatutnya membiarkan mereka menjadi pengemis kepada pemerintah.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut mengimbau intervensi dilakukan Kerajaan PN sebelum ini dalam membantu rakyat berbanding Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) kini.

Menurut Azmin, dalam keadaan menghadapi tiga krisis ketika itu yakni kesihatan, ekonomi dan politik, Kerajaan PN telah menyelamatkan keadaan antaranya menerusi suntikan lebih RM500 bilion ketika itu.

Termasuk dibantu jelasnya, adalah Selangor walaupun bukan negeri PN kerana menjaga kepentingan rakyat bagi memastikan pekerjaan berlangsung dan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Tapi tanya penyangak dan perompak dan juga luar tabii ini, (mereka) tak benarkan EPF tak boleh keluar. (Suruh) Pergi buat pinjaman bank. Ini Menteri Kewangan atau manusia spesies apa? Rakyat sedang susah. Dia nak ambil wang dia. Wang simpanan dia.

“Memang benarlah EPF untuk simpanan hari tua. Kita tahu. Tetapi dalam keadaan biasa kita boleh laksanakan dasar tersebut. Dalam keadaan yang luar biasa, benarkanlah mereka keluar sebahagian. Tan Sri Muhyiddin Yassin benarkan tiga pengeluaran KWSP.

“Untuk menyelamatkan pekerja-pekerja seluruh negara pada ketika itu,” jelasnya dengan turut bercerita kejayaan Kedah di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menarik pelaburan.

Azmin juga mendedahkan pengakuan Kerajaan Madani kononnya menarik pelabur AWS Amazon dari Amerika Syarikat ke negara ini yang sebenarnya telah dipersetujui semasa zaman Kerajaan PN lagi. – HARAKAHDAILY 5/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -