Ketua Polis Pulau Pinang terima 6 keping ‘duit mayat’

Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mendedahkan bahawa Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin baru-baru ini menerima ugutan jenayah dalam bentuk enam keping ‘duit mayat’ dan sekeping nota amaran.

- Advertisement -

Beliau berkata nota itu, yang diterima pada 1 Jun lepas melalui perkhidmatan Pos Malaysia, meminta polis Pulau Pinang menghentikan tindakan agresif memerangi sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen di negeri itu.

“Satu laporan polis telah dibuat mengenai surat yang dialamatkan kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang… turut dinyatakan melalui surat layang itu nota berunsur ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Pulau Pinang dan akan membakar kedai serta balai polis jika amaran berkenaan tidak diendahkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM)  memandang serius perkara itu dan operasi melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek yang terlibat.

Beliau berkata siasatan kes itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

“PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengugut serta mengancam pegawai PDRM dalam menjalankan tugas memerangi kegiatan haram serta jenayah di negara ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -