Kerajaan Anwar gagal aspek ekonomi, kewangan

Penyebab kadar inflasi meningkat, Ringgit menurun

- Advertisement -

TANJONG KARANG: Kadar inflasi meningkat, manakala Ringgit menurun adalah disebabkan ketiadaan dasar yang komprehensif kerana kerajaan dan pemimpin lemah pada aspek ekonomi dan kewangan.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali membidas situasi ekonomi terjadi kini sebagai kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berucap pada Ceramah Perdana PN Selangor sempena program Jelajah Selangor Baharu yang diadakan di Kompleks PAS Tanjong Karang, di sini malam tadi.

“Inflasi makin lama makin melambung, betul? Harga barang naik. Ringgit semakin lemah. Pernah dengar ucapan dia (Anwar) dengan Raja Formula (Mohd Rafizi Ramli) sebelum ini? Dia serang Tan Sri Muhyiddin, kalau ringgit lemah, maknanya kerajaan lemah.

“Sekarang siapa lemah? Ringgit pada 26 Mei yang lalu merudum ke tahap yang paling rendah dalam sejarah 24 tahun, RM4.6. Dan sekarang laporan pakar-pakar ekonomi dalam suku tahun ketiga ini, ringgit akan terus merudum ke tahap RM4.7.

“Apa makna ringgit yang lemah? Tanya Menteri Ekonomi, (dijawabnya) ‘Tak apa, Ringgit lemah itu baik untuk Malaysia’. Kepala bapak kamu! (Kalau begitu) tak sukar, tak payah jadi pakar ekonomi. Bila ringgit lemah, harga barangan import akan menjadi lebih tinggi.

“Sekarang ini matawang asing daripada negara-negara jiran bermaharajalela di Johor Bahru, di Malaysia kerana ringgit kita terlalu lemah. Bila Ringgit lemah, import mahal, purchasing power juga semakin lemah. Kita tak ada kemampuan untuk membeli barangan.

“Kemudian, Bank Negara naikkan OPR. Maknanya Bank Negara cuba memandu keadaan inflasi yang membimbangkan, tak jalan juga. Pada 3 Mei naikkan OPR, Ringgit merudum. Maka istilah saya boleh kata ini adalah kerajaan gagal. Setuju?” bidasnya.

Sehubungan itu beliau mengajak rakyat Selangor menjadikan PRN nanti sebagai referandum rakyat menolak kerajaan yang disifatkannya gagal dan caca merba serta lintang-pukang itu. – HARAKAHDAILY 5/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -