Bidas desakan politik PH-BN terhadap kes-kes mahkamah

- Advertisement -

TANJONG KARANG: Kes sedang melalui proses perundangan sepatutnya diserahkan sehingga keputusan mahkamah tanpa wujud desakan daripada mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau menghentikannya.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali membidas arahan kepada Peguam Negara untuk menarik kes rasuah membabitkan pemimpin politik daripada Umno.

Isu tersebut dinyatakan beliau dalam ucapan pada Ceramah Perdana PN Selangor sempena program Jelajah Selangor Baharu yang diadakan di Kompleks PAS Tanjong Karang, di sini malam tadi.

Sebelum ini katanya, ada pihak meminta untuk disemak semula walaupun mahkamah telah memutuskan prima facie kes tersebut terhadap individu yang kini diangkat sebagai ‘Panglima Kedua Negara’.

“Ini pemimpin yang bergelumang dengan rasuah yang mereka sendiri menggelar kleptokrat. Malam, siang, subuh mendendangkan lagu ‘Hoi Ya Hoi’. Di mana kejujuran mereka? Di mana keikhlasan mereka? 

“Kes yang terbukti ada merit dalam mahkamah,” ujarnya dipercayai merujuk kes Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri walaupun tidak menyebut nama pemimpin itu.

Beliau menyifatkan arahan tersebut sebagai luar biasa dan luar tabii kerana melakukan ia tidak menurut norma perundangan sepatutnya termasuk juga sebagaimana dalam isu kes Kalimah Allah.

Beritahu Azmin, Kerajaan PN yang lalu menyerahkan kes tersebut kepada Peguam Negara untuk diangkat rayuan dan menunggu prosiding tamat setelah kes itu kembali dibawa pihak terbabit ke mahkamah.

“Saya nak tanya siapa arah tarik rayuan ini? Apakah ada rakan-rakan mereka dalam coalition baru yang ‘dictate’ kerajaan (supaya) tarik rayuan tersebut? Ada kemungkinan atau tidak?

“Sekarang ini saya rasa kecewa ada kumpulan yang sepanjang hayatnya menyerang dasar kebangsaan, menyerang dasar bahasa kebangsaan, menyerang dasar ekonomi Bumiputera; kumpulan ini diangkat dan didewa-dewakan.

“Mengapa ini berlaku? Biarlah mahkamah tentukan. Dan sebagai kerajaan yang menjaga kes studien to the constitution (berasaskan kepada Perlembagaan). Kita ada tindakan yang boleh diambil dia terhadap apa-apa keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah. 

“Tapi belum lagi mahkamah buat keputusan, atas desakan kumpulan tertentu ini, saya percaya rayuan ini ditarik,” ujarnya dipercayai merujuk kepada DAP dan menggesa seluruh negara bangkit menghumban Pakatan Harapan (PH) dan DAP pada PRN nanti.

Katanya, tiada lagi pihak boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan agama dan akidah umat Islam melainkan umat ini mesti bangkit mempertahankan kalimah Allah dan melindungi kepentingan Islam.

Ketika sama bidas Azmin, mereka membuat pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedangkan penguat kuasa sehingga hari ini tidak dapat membuktikan perkara itu.

“Tiada satu sen pun masuk ke dalam akaun dan keluarganya (Muhyiddin). Berbeza dengan pemimpin-pemimpin Umno sama ada (Dato’ Seri Mohd) Najib (Abdul Razak) atau Zahid masuk dalam akaun peribadi.

“Betul sumbangan individu, organisasi, syarikat kepada parti politik bukan satu kesalahan. Umno ada amalan tersebut. Barisan Nasional ada amalan tersebut, parti-parti lain semuanya ada amalan tersebut. 

“Yang ditetapkan oleh SPRM sumbangan mesti dimasukkan dalam akaun parti dan akaun itu mesti dibuat audit setiap tahun. Ini yang kita lakukan. BERSATU dan PN kita masuk dalam akaun parti. Kita audit setiap tahun. Kita bentangkan dalam kongres parti secara telus dan terbuka.

“Tetapi kerana khianat, kerana marah dendam kesumat, tidak ada bukti lain, sekarang PN diserang dan diaibkan. Mereka boleh hina Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

“Mereka boleh sekat PN, tapi saya berikrar dan bertekad kita akan lawan dan humban PH dalam pilihan raya yang akan datang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -