Ada pihak guna nama Mursyidul Am sokong anugerah Kit Siang

Mohd Shukri Ramli
- Advertisement -

KANGAR: Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli, menafikan kononnya Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin menyokong veteran DAP, Lim Kit Siang diberi darjah kebesaran Tan Sri.

- Advertisement -

Katanya, ada pihak menggunakan nama Mursyidul Am PAS bagi menyokong pengiktirafan yang diberikan kepada veteran DAP terbabit.

“Saya sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis, saya kira amat rapat dengan Tuan Guru Haji Hashim, tidak pernah pula mendengar sebarang kenyataannya menyokong anugerah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebuah portal berita melaporkan Mursyidul Am PAS memberi sokongan cadangan kerajaan memberi penghargaan kepada Kit Siang berikutan pengumumannya bersara daripada arena politik.

Kenyataan itu dikeluarkan laman berita terbabit pada Mac 2022.

Mohd Shukri yang juga Menteri Besar Perlis berkata, media pro-Pakatan Harapan (PH) dilihat cuba melaga-lagakan kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Media pro-PH hanyalah bersifat ingin melaga-lagakan pimpinan dalam PN. Tuan Guru Hashim sentiasa menyokong dan mendukung PN sebagai gabungan yang bersih dan stabil untuk memimpin kerajaan,” ujarnya.

Hari ini, Kit Siang antara pemimpin yang diberi anugerah darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong sempena hari keputeraan rasmi baginda. – HARAKAHDAILY 5/6/2023

- Advertisement -