Wanita berperanan tentukan masa depan negara

- Advertisement -

LAHAD DATU: Muslimat PAS berusaha memberikan kefahaman politik kepada kaum wanita supaya peka pentingnya peranan mereka dalam menentukan masa depan negara.

- Advertisement -

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu, kaum wanita mempunyai peranan penting dalam memastikan negara ini sejahtera serta diterajui oleh pemimpin yang patuh kepada perintah Allah.

“Ini penting kerana inilah yang akan diwariskan kepada anak cucu kita kelak,” ujarnya ketika merasmikan program Munajat Hour peringkat negeri di Awana Ballroom, di sini semalam.

Turut diadakan kuliah duha bertajuk Peranan Wanita Dalam Pembinaan Rumahtangga Muslim yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Wahibah Twahir.

Hadir sama Timbalan Ketua Muslimat PAS negeri, Norjanah JamJam, Timbalan serta Naib Ketua Muslimat Lahad Datu, Maimunah Mahmud dan Nurmia Habba.

Justeru itu, kata Norsah muslimat PAS di samping menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiah, dituntut untuk memberi kefahaman politik kepada masyarakat khususnya kaum wanita.

“Untuk mencapai misi besar ini, program munajat seperti ini dirangka khas untuk membina kekuatan dalaman kepada kaum wanita umumnya. Semoga usaha ini mendapat perkenan Allah hendaknya,” ujarnya.

Muslimat PAS seluruh Malaysia telah mengadakan solat hajat, bacaan Yaasin dan munajat akifi secara serentak memohon kesejahteraan ummah. – HARAKAHDAILY 4/6/2023

- Advertisement -