KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah semua pihak perlu menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Ini, titah baginda, sepertimana yang dinyatakan di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan perlu juga menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam.
“Namun demikian, agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan aman dan damai,” titah baginda sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda yang disiarkan secara langsung melalui televisyen malam ini.
Baginda juga bertitah, semangat penuh toleransi rakyat Malaysia dalam kemajmukan yang ada sebenarnya adalah asas kekuatan utama negara.
“Justeru bagi membina sebuah negara yang gagah perkasa, maju jaya, berwibawa dan bermaruah, kita semua hendaklah membuang agenda retorik perpecahan dan sebaliknya, bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan yang lebih baik,” titah baginda lagi.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh rakyat yang baginda sanjungi sekalian di atas ucapan tahniah dan doa yang telah dipersembahkan bersempena Hari Keputeraan Rasmi baginda.
Sesungguhnya, titah baginda ucapan dan doa tersebut telah menambah iltizam dan tekad baginda untuk terus memayungi rakyat Malaysia dengan penuh keadilan dan kesaksamaan.
Mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, baginda bertitah proses pembentukan Kerajaan Persekutuan telah berlangsung dengan penuh lancar serta dalam suasana yang aman dan damai.
Ini, titah baginda adalah merupakan bukti jelas bahawa amalan demokrasi yang diamalkan semenjak tujuh dekad yang lalu, masih kekal subur di negara ini.
Seri Paduka bertitah, amalan demokrasi hendaklah terus menjadi asas kepada kestabilan dan keharmonian negara.
“Negara kita Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjadi sebuah negara yang maju dan disegani,” titah baginda.
Menurut baginda, Malaysia telah dilimpahi dengan nikmat keamanan, kepelbagaian sumber dan modal insan yang berkualiti serta mempunyai semangat juang yang tinggi.
Sebenarnya, titah baginda kekuatan utama negara ini adalah merupakan rakyatnya.
“Rakyat Malaysia amat mencintai kedamaian, keharmonian dan kesatuan dalam kehidupan seharian serta menerima kemajmukan yang wujud dengan penuh toleran.
“Rakyat Malaysia juga telah sekian lama berjaya mencipta nama di persada dunia dalam pelbagai bidang termasuk dalam mencorak landskap geopolitik serantau dan global,” titah Seri Paduka. – HARAKAHDAILY 4/6/2023