Kebolehan juruterbang TUDM banggakan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia bangga dengan kemampuan dan kebolehan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjaga ruang udara negara seperti yang dipamerkan ketika Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23), baru-baru ini.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata ini dapat dilihat berdasarkan aksi ‘Kapten Kamaruddin’ menerbangkan jet pejuang pada LIMA ’23 yang menarik perhatian ramai.

Video dimuat naik oleh @arepit993 di TikTok memaparkan aksi juruterbang melaksanakan tugas dengan baik selepas mendapat arahan panjang dalam radio komunikasi.

“Kita berbangga melihat anggota TUDM yang membawa jet-jet pejuang menjaga ruang udara tanah air kita,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunung Semanggol.

LIMA `23 Edisi ke-16 di Langkawi antara 23 hingga 27 Mei lalu, menarik perhatian pelbagai pihak sehingga Pulau Lagenda sesak dengan kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, Razman merakam ucapan takziah kepada keluarga mendiang Mejar Hendrinraj Pulvendiran yang bertugas sebagai jurusensor senjata pesawat tempur Sukhoi TUDM.

Mendiang Mejar Hendrinraj Pulvendiran, 35, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya membabitkan kereta dinaikinya dan sebuah lori di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 17 Mei lepas.

“Kami menghargai jasa dan pengorbanan anggota TUDM kerana menjaga negara agar rakyat dapat hidup dalam keadaan aman,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/6/2023

- Advertisement -