KOTA BHARU: Kerajaan PH-BN diingatkan tidak mengulangi sejarah lama, di mana kerajaan pusat menafikan peruntukan kepada Kelantan untuk menyelesaikan masalah bekalan air.
Mantan Menteri Alam Sekitar dan Air Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, masalah itu menjadi punca bekalan air di negeri itu ketinggalan berbanding negeri lain.
“Jangan sekat lagi peruntukan untuk Kelantan. Alhamdulillah Menteri Besar pergi berbincang dengan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya semalam.
“Masalah bekalan air bukan sahaja berlaku di Kelantan, bahkan isu tersebut menjadi masalah di banyak negeri,” katanya pada kuliah pagi
Jumaat di Medan Ilmu hari ini.
Semalam Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan rombongan dari Kelantan mengadakan perbincangan dengan perdana menteri bagi menyelesaikan masalah bekalan air.
Ketika era kerajaan BN, Kelantan berdepan dengan diskriminasi projek bekalan air termasuk sukar mendapat pinjaman kewangan bagi meningkatkan keupayaan loji air.
Sedangkan negeri-negeri lain diberi bantuan dalam bentuk geran bagi melaksanakan projek bekalan air.
Tuan Ibrahim yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, kemudahan berkaitan bekalan air perlu ditukar apabila luput tarikh dan kos untuk menukarnya memerlukan dana yang besar. – HARAKAHDAILY 2/6/2023