Kaji semula pengambilan jururawat asing

Dr. Najihatussalehah Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak kementerian kesihatan Malaysia (KKM) perlu membuat kajian terperinci terhadap permintaan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) untuk memenuhi keperluan hospital swasta yang dikatakan mengalami masalah kekurangan jururawat pada masa kini. 

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Dr. Najihatussalehah Ahmad berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan media Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pada 30 Mei lalu bahawa pihaknya sedang memperhalusi isu yang dibangkitkan oleh Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh mengenai pengambilan jururawat daripada luar negara untuk membantu sektor swasta mengatasi masalah berkenaan.

“Datuk Dr Kuljit Singh berkata perkara berkenaan sudahpun dibangkitkan beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya selepas dunia dan Malaysia dilanda pandemik Covid-19.

“Tinjauan yang dibuat oleh APHM pada November 2022, mendapati hasil maklum balas daripada 103 hospital, kita memerlukan kira-kira 9,224 jururawat tambahan pada tahun ini hingga 2025.

“Namun begitu, rawatan tidak dapat diberikan kepada pesakit yang berada di hospital swasta kerana kekurangan tenaga kerja jururawat.

“Sekarang ini, ramai pesakit yang berkemampuan ingin menerima rawatan di hospital swasta tetapi untuk meningkatkan jumlah wad atau katil, kita perlukan jururawat,” jelasnya. 

Justeru, Dr. Najihatussalehah menegaskan bahawa pengambilan golongan  jururawatdari luar negara seharusnya melalui proses latihan induksi atau orientasi bagi menyesuaikan diri mereka  untuk bekerja di negara ini supaya memahami budaya masyarakat di Malaysia.

Tambah beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia, sekiranya ingin mengambil juga jururawat-jururawat dari luar negara itu, pihak kerajaan perlu memastikan pengambilan mereka ini untuk jangka masa pendek sahaja dan pihak kerajaan juga mestilah dari masa ke semasa mengkaji keperluannya.

“Institusi kejururawatan yang ada  di Malaysia perlulah menyediakan dan terus menawarkan pengajian kejururawatan yang terbaik bagi melatih lebih ramai lagi anak-anak Malaysia menyertai bidang pengajian ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/6/2023

- Advertisement -