Hugh Callaghan ‘Birmingham Six’ meninggal dunia

Hugh Callaghan (tiga dari kiri) ketika dibebaskan pada 14 Mac 1991.
- Advertisement -

BELFAST: Hugh Callaghan, seorang daripada enam lelaki yang disabitkan kesalahan secara salah terhadap kejadian pengeboman pub di bandar Birmingham, England yang membunuh 21 orang dan mencederakan lebih 180 orang pada 1974, meninggal dunia minggu ini pada usia 93 tahun.

- Advertisement -

“Birmingham Six” ialah enam lelaki Ireland di England yang ditangkap selepas pengeboman pub Mulberry Bush dan The Tavern. Mereka menghabiskan 16 tahun di penjara sehingga didapati tidak terbabit dalam kejadian itu dan dibebaskan pada 1991.

Pengeboman itu adalah serangan paling berdarah di British ketika “The Troubles” iaitu konflik di Ireland Utara selama 30 tahun antara kumpulan nasionalis Katolik yang menyokong penyatuan Ireland Utara dan Republik Ireland serta Protestan yang mahu kekal bersama United Kingdom.

Walaupun “The Troubles” kebanyakan berlaku di Ireland Utara, kadang-kadang keganasan merebak ke Republik Ireland, England dan tanah besar Eropah.

Walaupun Tentera Republikan Ireland (IRA) dipersalahkan oleh pihak berkuasa kerana meletakkan bahan letupan, IRA tidak pernah mengaku bertanggungjawab.

Inkues pada 2019 menyimpulkan bahawa bom telah diletakkan oleh ahli IRA dan amaran yang mereka berikan adalah tidak mencukupi.

Callaghan yang menjalani kehidupan secara senyap selepas dibebaskan, meninggal dunia pada 27 Mei, kata peguam Gareth Peirce yang mewakili Birmingham Six.

“Dia adalah orang yang berada dalam situasi terdedah. Mungkin yang paling terdedah. Hakikat bahawa dia terselamat dan keluar menjalani kehidupan adalah suatu pencapaian,” kata Peirce.

Lima lagi ahli Birmingham Six ialah Patrick Hill, Gerard Hunter, Richard McIlkenny, William Power dan John Walker.

The Troubles yang meragut kira-kira 3,600 nyawa ditamatkan melalui Perjanjian Good Friday pada 1998. – REUTERS

- Advertisement -