AI padamkan bukti jenayah perang

Ihor Zakharenko mendakwa rakaman video yang mendokumentasikan jenayah perang di Ukraine yang dimuatnaik ke dalam media sosial telah dipadamkan oleh AI. (FOTO: BBC)
- Advertisement -

LONDON: Bukti kemungkinan jenayah perang boleh dihilangkan secara langsung tidak dapat dikesan kembali selepas dipadamkan oleh syarikat-syarikat yang mengaplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI).

- Advertisement -

Platform seperti Facebook, Instagram dan YouTube kini berkemampuan mengalih keluar video grafik menggunakan AI. 

Ini bermakna, rakaman yang berpotensi membantu untuk membuktikan jenayah perang secara sah boleh dialih keluar melalui proses yang dimanipulasi oleh AI tanpa diarkibkan.

Ia adalah berikutan teknologi AI direka untuk mengalih keluar kandungan yang mungkin berbahaya dan tidak sesuai untuk audiens  tetapi tidak mempunyai nuansa untuk membezakan antara keganasan lucah yang disiarkan untuk tujuan hiburan dan memuat naik video yang mendokumentasikan kemungkinan jenayah perang.

Hal ini dikatakan telah membawa masalah buat wartawan yang cuba mendokumentasikan jenayah perang Rusia di Ukraine sebagai contohnya.

Ihor Zakharenko yang mendakwa telah mendokumentasikan mayat 17 orang yang dibunuh di pinggir bandar Kyiv oleh tentera Rusia, tetapi apabila dia memuat naiknya ke Facebook dan Instagram, kandungan dokumentasi yang telah dihasilkannya telah dipadam, lapor BBC.

Dalam percubaannya untuk menguji senario tersebut, BBC cuba memuat naik empat video Zakharenko itu ke YouTube dan Instagram menggunakan akaun palsu.

Didapati instagram mengalih keluar tiga daripada empat video dalam masa satu minit, manakala YouTube mengeluarkannya dalam masa sepuluh minit.

Sepanjang dekad yang lalu atau lebih, peranan kewartawanan media sosial dan platform perkongsian video telah memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan jenayah perang dan serangan di zon perang, seperti di Syria, Yaman dan Sudan.

Justeru, senario pemadaman video oleh firma media sosial sekarang ini dikatakan tekah merampas salah satu ‘senjata’ utama yang dimiliki oleh mangsa penjenayah perang untuk dijadikan sebagai bukti. 

Dalam kes seorang lelaki Imad dari Aleppo, Syria yang memiliki sebuah farmasi di bandar itu, namun semuanya musnah dibom pada pada 2013 dalam kejadian yang banyak dirakam dalam bentuk video, khususnya oleh wartawan yang bekerja dengan agensi-agensi berita antarabangsa.

Apabila Imad memohon suaka di Kesatuan Eropah (EU) beberapa tahun selepas serangan itu, dia diminta memberikan bukti mengenainya. 

Justeru, dia beralih cuba mendapatkan video rakaman kejadian tersebut yang pernah dimuat naik di media sosial dan YouTube baik oleh wartawan amatur dan profesional, tetapi kesemuanya telah dipadamkan.

Namun, Mnemonic yang berpangkalan di Berlin  merupakan satu-satunya syarikat yang yang telah menyediakan teknologi khusus untuk menyimpan video jenayah perang secara automatik tanpa berisiko ia akan  dipadamkan. 

Setakat ini, 700,000 video yang dipadamkan di media sosial telah disimpan oleh Mnemonic, termasuk yang diperlukan oleh Imad untuk mendapat suaka di EU tersebut.

Walau bagaimanapun, teknologi seperti yang disediakan di Mnemonic masih tidak dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemadaman video penting yang mendokumentasikan kekejaman oleh program AI yang terlalu berhati-hati.

Meta dalam kenyataannya memetik laporan BBC sebagai  berkata bahawa ia akan cuba untuk ‘membangunkan jentera, sama ada dalam bentuk manusia atau AI, untuk kemudian membuat keputusan yang lebih munasabah’ bagi membezakan potensi rakaman jenayah perang daripada bentuk kandungan grafik yang lain. – HARAKAHDAILY 2/6/2023

- Advertisement -