Terengganu peruntuk lebih RM22 juta bantu usahawan

- Advertisement -

BESUT: Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan sebanyak RM22,880,130 kepada 4,829 orang usahawan di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) sejak diperkenalkan pada 2019 sehingga 30 Mei 2023.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata dana TUGAS ini  menunjukkan keperihatinan kerajaan negeri Terengganu dalam membantu dan menyokong golongan usahawan yang komited untuk melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan.

“Saya merasa amat terharu menyanpaikan dana TUGAS ini kerana saya juga berasal daripada keluarga penjaja dan saya dapat memahami kerpeluan mereka.

“Semoga dengan pemberian Skim Pembiayaan TUGAS ini akan dapat membantu para usahawan bagi meningkatkan dan mengembangkan lagi operasi perniagaan mereka,” katanya.

Menurut Mohd Nurkhuzaini, bagi tahun 2023, kerajaan negeri dalam pembentangan bajet 2022 telah memperuntukkan RM10 juta di bawah pembiayaan TUGAS.

”Bagi Tahun 2023 sahaja iaitu sehingga ke hari ini sebanyak RM4.4 Juta peruntukan TUGAS telah dikeluarkan bagi memberi manafaat kepada 1,428 orang usahawan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, bagi memastikan Skim TUGAS dapat dinikmati oleh semua golongan Usahawan maka selain daripada lapan Skim Pembiayaan yang sediada, YPU telah memperkenalkan satu skim baru pada Tahun ini iaitu Skim Pembiayaan Mudah Usahawan (SPMU).

”SPMU adalah merupakan salah satu usaha YPU untuk memudahkan usahawan kecil Terengganu untuk mendapatkan pembiayaan dengan had maksimum sehingga RM5,000 dan ia merupakan pembiayaan yang tidak memerlukan penjamin dengan kelulusan seawal 21 sehingga 30 hari sahaja,” ujar beliau. – TRDI.my

- Advertisement -