Tatakelola baik perlu dibuktikan dengan tindakan

- Advertisement -

SENTIMEN tatakelola yang baik dalam aspek tadbir urus dan governan sering menjadi modal ceramah oleh kerajaan lebih-lebih lagi dalam siri-siri ceramah retorik oleh Perdana Menteri ke-10 (PMX). Meskipun begitu, realiti menunjukkan sebaliknya. Hakikatnya tatakelola yang baik hanya tinggal retorik politik sahaja.

3 isu tatakelola utama yang masih gagal dibuktikan dengan kukuh oleh Kerajaan ‘Madani’ adalah berikut:

1. Kegagalan memberikan peruntukan yang adil buat barisan Ahli Parlimen Pembangkang.

Walhal, modal inilah yang ditunggang oleh politikus kerajaan kini pada era mereka menjadi pembangkang dahulu sebagaimana dinyatakan dalam Parlimen dan ceramah-ceramah politik mereka.

Peruntukan Parlimen yang adil kepada kawasan yang dimenangi Ahli Parlimen Pembangkang juga amat penting kerana peruntukan ini menjadi stimulus kepada usaha jangka pendek dalam meringankan masalah kebajikan rakyat setempat.

Isu ini tidak wajar dijadikan senjata oleh kerajaan kerana takut sokongan rakyat terhadap pembangkang semakin kuat. Kerana hakikatnya, rakyat kini bijak menilai dengan adil. Menyekat peruntukan untuk disalurkan secara terus kepada ahli parlimen dilihat sebagai langkah politik sempit yang langsung tidak mencerminkan tatakelola Kerajaan Persekutuan yang baik.

2. Langkah penjimatan kerajaan yang sebenarnya tidak menjimatkan. 

Politikus Kerajaan Madani sering juga mencanangkan perihal memaksimumkan penjimatan dan mengoptimumkan penjimatan.

Namun, siri-siri majlis besar seperti Rumah Terbuka Perdana Menteri di 6 negeri bakal menjalani pilihan raya dengan kos hampir RM3 juta, dilihat bertentangan dengan apa yang mereka sendiri pertuturkan.

Selain itu, kita juga dikejutkan dengan keengganan kerajaan mendedahkan butiran kos pengangkutan PMX sepanjang 6 bulan menjadi Perdana Menteri. Di manakah aspek transparensi dalam tadbir urus yang selama ini menjadi azimat suci politikus kerajaan? Inilah yang dipersoalkan oleh rakyat.

3. Penetapan dasar dan polisi yang gelojoh.

Rakyat khususnya kumpulan pengamal perubatan dikejutkan dengan langkah KKM yang secara tiba-tiba ‘menghalalkan’ vape apabila gel nikotin dalam Akta Racun 1952 telah dikeluarkan daripada senarai racun atas sebab ingin mencukaikan vape.

Langkah canggung ini amat pelik kerana RUU Kawalan Hasil Tembakau yang lebih komprehensif belum pun lagi dibentangkan dan diluluskan. Hal ini seterusnya telah mewujudkan lompong dalam hal vape dan bahan tembakau apabila vape kini boleh didapati oleh individu bawah 18 tanpa kawalan undang-undang.

Hal yang sama boleh dikatakan dalam isu penarikan rayuan dalam kes Jill Ireland berkenaan penggunaan Kalimah Allah. KDN telah bertindak menarik rayuan berhubung kes ini tanpa memaklumkan sebarang khabar kepada pemegang taruh seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).

Apakah ini lambang tadbir urus dan tatakelola yang baik? Ini belum kita sentuh isu skandal rasuah berkenaan pegawai di Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Tiada jawapan meyakinkan daripada kerajaan untuk menenangkan keresahan rakyat.

Ternyata, tatakelola yang enak dituturkan bermodalkan air liur tidaklah semudah yang disangka. Kini rakyat mula nampak retorik yang selama ini mereka canang.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 1/6/2023

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100064587886409/posts/pfbid0tP4tvhSjYMurYvB4VWbxiKa8ndzTvwRUvnYyMjTnw6AYfw4mxrHuUELi4K8u3ZZvl/?mibextid=CDWPTG 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -