ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersedia ke mahkamah sekiranya isu pemilikan Kedah terhadap Pulau Pinang dibawa hingga ke tahap itu.
“Biar polis siasat kalau mereka nak buat laporan polis. Orang takut bila tak ada sandaran tapi saya ada banyak sandaran,” kata beliau ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah, di perkarangan Stadium Alor Setar, petang tadi.
Isnin lalu, Sanusi pada sidang media di Wisma Darul Aman, menyuarakan pendiriannya bahawa Kedah tidak mempunyai sempadan dengan Pulau Pinang kerana negeri tersebut adalah hak Kedah.
Beliau juga berkata negeri itu tidak pernah ‘terlepas’ daripada Kedah malah pihaknya akan berusaha mengambil balik.
Kenyataan itu bukan sahaja membuatkan pemimpin DAP Pulau Pinang ‘panas’ malah beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain turut ‘menyerang’ Menteri Besar kononnya bercakap tidak merujuk kepada perlembagaan.
Sementara menurut laporan sebuah media tempatan semalam, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa penduduk Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi dan menganggap pemimpin nombor satu kerajaan Kedah itu tidak bertanggungjawab serta melulu membuat dakwaan.
Dalam pada itu Muhammad Sanusi menegaskan beliau sanggup serta bersedia untuk berjumpa pemimpin DAP berkenaan di mahkamah sekiranya kes berkenaan dibawa hingga ke tahap itu.
“Saya boleh jumpa kalau depa (mereka) nak jumpa di mahkamah. Saya bersedia hingga ke situ,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 1/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!