Kemaraan pasukan negara dalam Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Oman berakhir selepas kecundang 2-6 kepada Pakistan dalam aksi separuh akhir yang berlangsung awal pagi ini.
Hasil keputusan perlawanan yang berlangsung Kompleks Belia Sultan Qaboos di Salalah itu bermakna Malaysia sekali lagi akan berentap dengan Korea Selatan untuk penentuan tempat ke-3 dan ke-4.
Korea Selatan yang terlebih dahulu bertemu India dalam satu lagi aksi separuh akhir, menerima nasib sama apabila dibelasah 1-9 oleh India.
Bagi ketua jurulatih skuad remaja lelaki kebangsaan, Muhamad Amin Rahim, faktor fizikal serta kecederaan pemain sebelum dan ketika perlawanan separuh akhir adalah antara penyumbang kepada keputusan hari ini.
“Sesuatu yang sukar untuk diterima apabila kami tewas 2-6 dalam perlawanan ini. Namun melalui keputusan ini, kami dapat melihat kekurangan pasukan yang perlu diperbaiki dan kelebihan yang boleh ditambah baik.
“Saya perlu berikan pujian kepada pemain kerana memberikan aksi yang sangat baik pada tiga suku perlawanan walaupun selepas itu di suku terakhir, fizikal pemain mula menurun.
“Pemain sangat berdisipin dalam perlawanan hari ini, mengikut apa yang barisan kejurulatihan atur dan sudah tentu kami perlu melihat kembali kesilapan yang dilakukan, terutama pada suku terakhir serta memperbaiki menjelang aksi terakhir kejohanan,” katanya.
Muhamad Amin berkata, walaupun menewaskan Korea Selatan di peringkat kumpulan 3-1, keputusan itu tidak boleh dijadikan penanda aras kerana perlawanan penentuan pingat adalah berbeza.

Sehubungan itu, beliau berharap pemain akan terus positif, turun dengan semangat dan keyakinan yang sama serta sentiasa percaya dengan keupayaan mereka.
“Saya tidak melihat mengapa pasukan kami tidak boleh keluar dengan kemenangan,” katanya.
Sementara itu ketika bertemu Pakistan, Malaysia mendahului perlawanan pada minit ke-21 hasil penyudahan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Perabu Tangaraja.
Pada suku ketiga, Pakistan mengikat kedudukan pada minit ke-42 menerusi pukulan sudut penalti Mohammad Khan sebelum Abdul Rehman meletakkan Pakistan di depan menerusi gol padang pada minit ke-44.
Semangat pemain negara tidak luntur untuk kembali mengejar kedudukan tersebut dan seminit kemudian, Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar menghasilkan gol kedua Malaysia selepas menewaskan penjaga gol Pakistan.
Bagaimanapun segalanya seakan tidak menjadi buat Malaysia pada suku terakhir apabila Pakistan menjaringkan empat gol menerusi Abdul Shahid (47′), Abdul Rehman (48′ dan 51′) serta Ahmad Arbaz (58′).
Malaysia akan menentang Korea Selatan jam 9:30 malam hari ini (waktu Malaysia) dan perlawanan tersebut boleh ditonton secara langsung menerusi pengstreman langsung di aplikasi watch.hockey. – PERSEKUTUAN HOKI MALAYSIA