Malapetaka ‘kahwin paksa’ PH-BN di Selangor

- Advertisement -

RAKYAT jelata dan para pemerhati politik sedang menunggu-nunggu pengisytiharan pembubaran DUN bagi enam buah Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dijangka dilakukan bila-bila masa dalam bulan Jun ini.

Pengisytiharan itu nanti akan membuka ruang untuk pilihan raya negeri diadakan di negeri-negeri berkenaan. Dan rakyat akan sekali lagi keluar mengundi, kali ini untuk memutuskan pembentukan kerajaan negeri di enam buah negeri ini.

PERIKATAN NASIONAL menguasai 3 buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala tiga buah lagi dikuasai Pakatan Harapan. Sebarang perubahan dari kedudukan 3-3 ini akan memberi petanda bahawa salah satu dari dua gabungan terbesar politik dalam negara iaitu sama ada PN atau Pakatan Harapan – Barisan Nasional sudah mula lemah dan tidak stabil lagi, ringkasnya ditolak rakyat.

PN dijangka menyelesaikan proses pembahagian kerusi antara parti-parti komponennya iaitu PAS, PPBM dan Gerakan awal Jun ini dan sudah pun mula menggerakkan jenteranya.

Yang masih ditunggu-tunggu adalah PH yang kini akan menghadapi pilihan raya buat pertama kali dengan rakan kongsi barunya iaitu BN yang didominasi Umno. 

‘Perkahwinan paksa’ antara dua musuh politik ini, masih belum menampakkan permuafakatan yang lancar. Walau sekatil tapi masih tidak rukun malah bersengketa. Ketajaman dan kecelaruan masih wujud walaupun pimpinan tertinggi masing-masing sudah selesa dan berpuas-hati dengan jawatan masing-masing, laba yang diperolehi walau ‘kahwin paksa’.

Di Kelantan, Terengganu dan Kedah ‘perkahwinan paksa’ ini tidaklah riuh kerana ketiga-tiga kerajaan negeri adalah di bawah PN. Realitinya dengan gelombang kebangkitan dan kesedaran politik di kalangan umat Melayu Islam yang masih bergelora, landskap politik di ketiga-tiga negeri ini dijangka tak berubah, malah ramai meramalkan PRN ini bakal memperkukuhkan lagi kedudukan PN sehingga ada yang berani mengatakan 36-0 Kedah, 45-0 Kelantan dan 32-0 Terengganu. 

Yang menjadi tanda tanya adalah di tiga buah negeri milik PH, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor. Adakah lancar dan tenang hubungan ‘kahwin paksa’ ini kerana jika tidak ia bakal menggegarkan kedudukan PH dan tidak mustahil kerajaan negeri boleh jatuh ke tangan PN.

Selangor khasnya diberi perhatian kerana landskap politiknya mampu berubah hasil dari keputusan Pilihan Raya Parlimen baru-baru ini. PN menang di enam buah Parlimen majoriti Melayu, menumbangkan PH-BN di 5 kerusi dan mempertahankan Parlimen Sungai Besar dengan 2,721 undi.

 Di enam buah kerusi Parlimen ini sudah terdapat 12 kerusi DUN majoriti Melayu, dan di Selangor kemenangan 29 kerusi dari 56 sudah cukup untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah. Pada keseluruhannya di Selangor dari 56 kerusi terdapat 33 kerusi yang mempunyai lebih 60 peratus pengundi Melayu.

Sudah pastilah kiranya ‘perkahwinan paksa’ PH-BN di Selangor ini tidak aman, masing-masing bercakaran dan tikam menikam belakang, lebih luas dan lebarlah lagilah harapan PN untuk menguasai negeri termaju di Malaysia ini.

Seorang penganalisa politik veteran, Joceline Tan dalam ruangannya di akhbar The Sunday Star baru-baru ini mengulas isu hubungan PH-BN ini dengan memfokus kepada PRN Selangor. Beliau mengulas bawah tajuk ‘Bolehkah cinta berkembang sebelum PRN?’ Syak wasangka antara Umno dan DAP terlalu besar dan lukanya tidak dijangka sembuh.

Di Selangor Umno cuma menang 4 kerusi dalam PRU ke-14 lalu, manakala komponennya MCA dan MIC gagal memenangi walau satu kerusi pun. Selepas PRU14 dalam PRK Semenyih, Umno berjaya menambah kerusinya ke 5 tetapi itupun sewaktu menjalin kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional.

Dalam PR Parlimen baru-baru ini BN gagal memenangi walau 1 kerusi.

Soalnya adakah BN khasnya Umno ini aset buat PH Selangor atau liabiliti, biawak hidup yang terpaksa dipikul? Demikian juga di mata ahli dan penyokong Umno, adakah DAP ini setelah berlaku ‘kahwin paksa’ atas kemahuan Presiden Umno, akan membantu Umno melonjak sokongannya atau akan menjadi semakin corot dan disisihkan masyarakat Melayu?

Bertungkus-lumus pimpinan Umno Selangor meyakinkan ahli-ahli akar-umbinya bahawa Umno akan mampu bangkit kembali, bukan melalui sokongan orang-orang Melayu, iaitu kekuatan terasnya sebelum ini, tetapi kali ini dengan sokongan dan bantuan masyarakat bukan-Melayu khasnya melalui DAP. Boleh terimakah orang Umno dengan gesaan begitu?

Ke manakah pergi sokongan orang-orang Melayu yang sebelum ini merupakan teras dan kekuatan Umno? Pada Pilihan Raya Parlimen baru-baru ini telah terbukti orang-orang Melayu khasnya anak-anak muda telah tinggalkan Umno dan mengundi PN secara beramai-ramai. Kerana itu Umno gagal menang satu kerusi pun, di Parlimen Sabak Bernam dan Tanjung Karang, 2 kerusi yang Umno menang pada PRU ke-14 dahulu baru-baru ini jatuh kecundang ke tangan PN.

Mampukah Umno mengharapkan sokongan Melayu lagi dalam PRN Selangor kali ini? Joceline menggariskan antara punca ahli dan penyokong Umno kecewa dan akan meninggalkan Umno adalah ekoran beberapa tindakan yang dilakukan pimpinannya. 

Antaranya menjadi tuan rumah kepada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan. Dewan Merdeka PWTC dibuka untuk dihadiri tokoh-tokoh besar DAP termasuklah Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, yang sebelum ini tegar memusuhi Umno dan perjuangannya.

Ahli dan penyokong Umno tidak boleh menerima keadaan itu, tambahan bergema pula laungan ‘Reformasi’ dalam Dewan Merdeka, laungan yang satu ketika dahulu mencabar dan mahu menumbangkan Kerajaan BN di bawah Tun Dr Mahathir, Pak Lah dan Datuk Seri Najib. 

Joceline memetik kenyataan Timbalan Ketua Umno bahagian Segamat Bastien Onn yang bimbangkan reaksi akar umbi Umno terhadap majlis ini.

Tunggak Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar pula dipecat dari Umno kerana tidak sehaluan dengan Presidennya, pengaruh Noh cukup besar di Selangor, dan tiada pemimpin Umno Selangor setakat hari ini yang mampu menandingi pengaruhnya itu.

Pembahagian kerusi PH dan BN di Selangor buntu apabila BN mahu bertanding lebih kerusi dari 5 yang ada miliknya. Menyedari lemahnya BN di Selangor, PH terutama DAP dijangka tidak akan memberi muka, dan Umno bakal menjadi rakan kongsi dengan kerusi paling kecil untuk ditandingi nanti. Itupun belum pasti ia mampu menang.

Tempias ‘kahwin paksa’ ini juga dijangka menconteng arang di wajah DAP yang sebelum ini vokal menyerang Umno. Pengundi-pengundi tegar PH khasnya di kalangan masyarakat bukan-Melayu kecewa apabila DAP sanggup bekerjasama dengan ‘perompak dan penyamun’, tidak mustahil ramai yang tidak akan keluar mengundi kerana kecewa, atau jika keluar pun akan merosakkan undi masing-masing. Kurang sokongan blok ini adalah ancaman besar buat PH.

Inilah malapetaka yang sedang menimpa mereka hasil dari ‘kahwin paksa’ ini. Sementara itu PN akan terus meyakinkan rakyat, pilihan terbaik PRN kali ini adalah ‘Selangor Baharu’, tukar kerajaan demi masa depan yang lebih meyakinkan. 

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
Perhubungan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 1/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -