Kedah tuntut pusat segerakan bayaran khas

ALOR SETAR: Kerajaan persekutuan digesa agar menyegerakan bayaran khas kepada Kedah memandangkan tuntutan telah dilakukan sejak Rancangan Fizikal Negara ke 2 (RFN-2) lalu.

Advertisement

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sekarang ini sudah menjangkau ke RFN-4 namun tuntutan bayaran khas itu belum tertunai.

“Saya mengharapkan kerajaan persekutuan segera membuat pembayaran dengan formula yang munasabah,” jelasnya ketika di temui di perkarangan Stadium Alor Setar, petang tadi.

Kata Sanusi, bayaran khas tahunan itu melibatkan RM200 juta bagi simpanan hutan dan RM170 juta untuk kawasan sawah padi.

Baginya jumlah berkenaan tidaklah terlalu besar kepada kerajaan persekutuan tetapi amat bermakna kepada rakyat dan negeri Kedah.

“Dahulu kita minta RM100 juta setahun untuk kawasan hutan simpan. Tetapi terkini kita minta RM200 juta. Apabila mereka (kerajaan persekutuan) membayarnya, kita bolehlah simpan dan secara tidak langsung rakyat bersemangat dan kitapun (kerajaan negeri) pun bersemangat,” tambahnya lagi.

Kata Muhammad Sanusi, kerajaan persekutuan wajar menilai pengorbanan dan sumbangan Kedah kerana apa yang dilakukan oleh negeri kini sebenarnya menggantikan impot makanan yang kosnya semakin tinggi akibat penurunan nilai Ringgit Malaysia.

“Pandangkan wajah Kedah dengan hati yang jernih dan fikiran yang bersih.Jangan hanya hendak cari kesalahan Kedah dan nak tindas kerana berlainan fahaman politik.

“Lupakan politik sementara waktu. Saya cakap ini bukan sebab perjuangan parti saya tetapi untuk rakyat Kedah.

“Kalau sebab parti politik saya bercakap ketika saya pakai baju parti tetapi ketika saya bercakap sebagai Menteri Besar, saya cakap untuk rakyat Kedah.Oleh itu sila dengar,” ulasnya lagi.

Sementara pada ucapan perasmian sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah, di perkarangan Stadium Alor Setar, petang tadi, beliau berkata pengorbanan Kedah dianggap ‘social obligation’ atau satu kewajipan.

Akibatnya ujar beliau, Kedah menjadi negeri ke dua termiskin dari segi pendapatan perkapita di Malaysia sementara asetnya seperti tanah bendang tidak boleh diubah menjadi tanah industri yang mampu membawa pulangan tinggi kepada negeri.

“Ini juga satu bentuk pengorbanan kerana perkara yang kita nak buat untuk memaju dan mengkayakan rakyat Kedah tidak dibolehkan,” ujarnya.

Justeru beliau mengharapkan cadangan penanaman padi lima kali dua tahun dijayakan agar pengeluaran padi dan taraf sara hidup petani dapat ditingkatkan.

Pada perkembangan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kerana berjaya melaksanakan penanaman padi lima kali (tempoh dua tahun) di tanah seluas 231,99 hektar. – HARAKAHDAILY 1/6/2023