Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) memfailkan bantahan kepada badan induk dunia, FIFA selepas pemain pertahanan Robert Renan didera secara perkauman berikutan perlawanan Piala Dunia bawah 20 tahun.
Mengikut CBF, Renan dihina selepas meninggalkan padang di Stadium Ciudad de la Plata di Argentina ketika Brazil menewaskan Tunisia 4-1.
Pemain itu yang dibuang padang selepas 45 minit, kemudian menjadi mangsa perkauman di media sosial. Selepas perlawanan, Renan berkongsi di Instagram, mesej perkauman yang diterimanya.
“Profil (pengguna media sosial perkauman) telah difailkan oleh CBF dan akan dihantar ke mahkamah tempatan serta FIFA dengan permintaan untuk hukuman,” kata CBF.
“CBF mengecam sekeras-kerasnya sebarang jenis tindakan diskriminasi dalam bola sepak dan tidak akan bertolak ansur dengan kes begitu dalam sukan ini,” katanya.
Jumaat lalu, CBF mengumumkan bahawa Brazil akan bermain perlawanan persahabatan menentang Guinea dan Senegal sebagai sebahagian daripada kempen menyokong penyerang Vinicius Jr yang didera secara perkauman ketika mewakili Real Madrid dalam liga Sepanyol musim ini. – REUTERS