AS benarkan GE bina enjin jet tentera India

Joe Biden bakal menjadi tuan rumah kepada Narendra Modi sempena lawatan rasmi Perdana Menteri India itu ke Amerika Syuarikat menjelang 22 Jun 2023. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden bersedia untuk menandatangani perjanjian yang membolehkan General Electric Co (GE) mengeluarkan enjin jet yang menjana kuasa pesawat tentera India di negara itu.

- Advertisement -

Perjanjian memuktamadkan pengeluaran bersama enjin itu dijangka akan ditandatangani dan diumumkan ketika Biden menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi untuk lawatan rasmi ke AS pada 22 Jun ini, lapor Reuters memetik kenyataan sumber yang namanya dirahsiakan susulan kerana keputusan  tidak didedahkan kepada umum.

Rumah Putih yang berkata pada Januari 2023 bahawa ia telah menerima permohonan untuk bersama-sama menghasilkan enjin jet berkenaan di India, bagaimanapun enggan mengulas; begitu GE tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk memberikan komen tentang perkembangan terbaharu itu.

Washington ketika ini sedang berusaha untuk mengeratkan hubungan dengan New Delhi dan melihat hubungan ketenteraan  dan teknologi yang lebih mendalam dengan negara Asia Selatan itu sebagai pengimbang utama kepada penguasaan China di rantau tersebut.

India, pengimport senjata terbesar di dunia sebelum ini bergantung kepada Rusia untuk hampir separuh bekalan ketenteraannya, dan telah membeli jet pejuang, kereta kebal, kapal selam nuklear dan kapal pengangkut pesawat selama beberapa dekad.

Terdahulu, New Delhi telah mengecewakan Washington dengan menyertai latihan ketenteraan dengan Rusia dan meningkatkan pembelian minyak mentah negara itu, yang dikatakan sebagai sumber pembiayaan utama untuk perang Moscow di Ukraine.

Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) milik India sebelum ini berkata ia merancang untuk menggunakan enjin 414 buatan GE pada generasi kedua pesawat tempur ringan dan ia sedang berbincang mengenai pengeluaran domestik enjin tersebut.

“Perjanjian itu tidak dimuktamadkan dan juga memerlukan pemberitahuan kepada Kongres AS,” kata sumber tersebut kepada Reuters. 

Washington diketahui mengekalkan kawalan ketat ke atas teknologi ketenteraan domestik yang boleh dikongsi atau dijual kepada negara lain.

Perkongsian bersama yang lebih luas antara AS dan India yang diumumkan awal tahun ini dibuat untuk menggalakkan syarikat dari kedua-dua negara bekerjasama, terutamanya dalam sektor peralatan ketenteraan dan teknologi canggih.

Tambah sumber kepada Reuters, walaupun GE telah menawarkan beberapa pemindahan teknologi kepada HAL, yang akan menghasilkan enjin sebagai pengeluar berlesen, India mendesak lebih banyak teknologi untuk dikongsi

India dikatakan berminat untuk mendapatkan pengetahuan  bagi membuat enjin pesawat. Walaupun boleh mengeluarkan jet pejuang di dalam negara, namun  ia tidak dapat menghasilkan enjin untuk menggerakkannya.

Terdahulu, HAL telah menggunakan enjin GE yang lebih ringan untuk 83 pesawat tempur ringan yang dihasilkannya untuk tentera udara India.

Bagaimanapun, India berhasrat untuk mengeluarkan lebih 350 jet pejuang bagi kelengkapan tentera udara dan tentera lautnya dalam tempoh dua dekad akan datang, yang boleh dikuasakan oleh enjin GE 414. – HARAKAHDAILY 1/6/2023

- Advertisement -