Sandiwara politik Anwar tidak faham sejarah

Isu Pulau Pinang-Kedah

- Advertisement -

YAB Menteri Besar telah perkatakan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah justeru tidak ada sempadan antara kedua-duanya. 

Apa yang diperkatakan beliau adalah mempertahankan apa yang menjadi hak kepada Kedah, bukannya bermakna mengambil hak orang lain pun.

Ada garis perbezaan yang jelas di antara mempertahankan hak dan mengambil hak orang lain.

Mempertahankan hak bermaksud memang sejak daripada awal pemilikan sesuatu perkara itu di bawah empunya penuntut. 

Mengambil hak pula bermaksud pemilikan sesuatu itu oleh orang lain dan penuntut mahu mengambilnya dengan apa cara sekalipun. 

Kenyataan YAB Sanusi adalah pada situasi mempertahankan hak Negeri Kedah dan rakyat negeri ini keseluruhannya.

Masalahnya Perdana Menteri (PMX) tidak faham sejarah atau tidak pernah membaca berkenaan sejarah lampau Pulau Pinang – Kedah. 

Sebenarnya para pengkaji sejarah telahpun meneliti isu hubungan Pulau Pinang – Kedah ini secara mendalam. 

Pandangan paling rajih adalah tidak ada dokumen yang boleh mengesahkan penyerahan Pulau Pinang daripada Sultan Abdullah Mukarram Shah kepada Francis Light pada tahun 1786. 

Dengan asas itu, Pulau Pinang masih hak milik Kedah dan bukan Menteri Besar seorang saja yang berpendirian sedemikian. 

PMX mahu mengalihkan hujah untuk menggunakan peruntukan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Bukankah Parlimen pernah meminda peruntukan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada Disember 2021 untuk menarik status ‘Negeri Persekutuan’ Sabah dan Sarawak dan menjadikannya Negeri-negeri Borneo dalam Perkara 1(2)(b)? 

Kedaulatan Sabah dan Sarawak, mahupun Malaysia sendiri tidak tergugat meskipun peruntukan tersebut dipinda. 

Oleh itu, mengapa kita tidak boleh melakukan pindaan sedemikian rupa demi memperbetulkan semula naratif sejarah masa lalu? 

Cukup-cukuplah sandiwara politik PMX yang melugai. Rakyat Kedah tetap bersama YAB Sanusi. Noktah!

MOHD AZAM ABD SAMAT
ADUN Sungai Limau
Ketua Penerangan PAS Kedah
31 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 31/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -