Sektor Pendidikan: Dari TASTI menuju universiti

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH. Tahun ini genaplah 4 tahun saya ditaklifkan memegang amanah sebagai Ketua Sektor Pendidikan, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Sepanjang tempoh ini, ia ruang dan peluang yang penuh makna untuk merangka strategi, belajar memahami aspirasi, mendengar pandangan pakar dan berkolaborasi dengan sahabat-sahabat berpengalaman dalam bidang pendidikan.

- Advertisement -

Sektor Pendidikan bertanggungjawab untuk menguruskan 3 institusi Pendidikan di bawah DPPM. Antara Jabatan di bawah Sektor Pendidikan termasuklah Jabatan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Malaysia, Jabatan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Malaysia dan Jabatan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Malaysia.

Jabatan PASTI yang semakin mendapat tempat dan merupakan rangkaian tadika Islam bukan Kerajaan yang terbesar di Malaysia hari ini memulakan operasi pada tahun 1984. Jabatan SRITI Malaysia pula ditubuhkan pada tahun 2015 semasa Al-Fadhil Ustaz Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz menjadi Ketua Pemuda PAS Malaysia. Manakala Jabatan SMITI Malaysia pula telah mula merangka pelan pelaksanaan pada tahun 2018 di bawah kepimpinan Ketua Pemuda PAS Malaysia Al-Fadhil YB Ustaz Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pendidikan dari TASTI ke universiti

Tahukah anda? Pada masa ini terdapat ada 2,680 buah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dengan 139,091 orang murid dan 9,002 orang guru di seluruh Malaysia. Selanjutnya, terdapat 154 buah Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dengan 23,972 orang murid dan 2,422 orang guru. Seterusnya, kini terdapat 15 buah Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) sedang beroperasi di seluruh negara dengan jumlah pelajar seramai 490 orang yang dididik oleh 68 orang guru.

Lebih menarik, bermula tahun 2017 Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) pula telah memulakan langkah dengan melancarkan penubuhan Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) iaitu nurseri bagi kanak-kanak 3 tahun dan ke bawah. TASTI adalah sistem pendidikan sebelum PASTI iaitu Tadika Islam bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun.

Seterusnya terdapat juga Institusi Pengajian Tinggi PAS (IPTIP) antaranya Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Kuala Lumpur di bawah kelolaan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) di Terengganu di bawah kelolaan PAS Terengganu dan Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) di Kedah di bawah kelolaan PAS Kedah.

Mudah-mudahan selepas ini akan berjaya pula diusahakan universiti bagi meneruskan kesinambungan sistem pendidikan ini dari TASTI sehingga universiti! Semoga impian murni ini akan suatu hari nanti terlaksana. Allahumma Aamiin.

Perancangan strategik sektor pendidikan

Sektor Pendidikan telah merencana Perancangan Strategik termasuk Skop Kerja, Halatuju dan Must Wins (agenda mesti menang). Antara Skop Sektor Pendidikan termasuklah melaksanakan agenda pemerkasaan generasi muda melalui pendidikan, meluaskan capaian pendidikan Islam kepada rakyat, memastikan kualiti pendidikan Islam pada tahap yang tinggi dan menjalankan penyelidikan berkaitan pendidikan.

Bertitik-tolak dari skop ini, Sektor Pendidikan telah membincangkan hala tuju dengan pelbagai strategi ke arah melahirkan insan soleh pintar (aspek pelajar), melahirkan muallim dan murabbi yang mampu menjadi contoh daie dan penggerak jamaah Islam (aspek guru), menjadikan pendidikan Islam sebagai pilihan utama (aspek kurikulum) dan menyebarluaskan dakwah kepada ibu bapa pelajar (aspek ibu bapa).

Selain itu terdapat juga Must Wins yang telah diberikan kepada setiap Jabatan PASTI, SRITI dan SMITI. Must Wins ini adalah senarai KPI untuk dicapai bagi melaksanakan Roadmap DPPM dan juga beberapa cadangan serta syor yang dibahaskan oleh perwakilan dalam muktamar-muktamar yang lepas.

Pelbagai inisiatif menarik untuk lebih berdaya maju turut telah, sedang dan akan diusahakan oleh agensi-agensi di bawah Sektor Pendidikan DPPM. Doakan semoga usaha pendidikan DPPM ini berjalan dengan yang terbaik demi jamaah, negara dan ummah.

Teruskan perjuangan liridhallah

Buat sahabat-sahabat Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) semua, sesungguhnya Pendidikan Iman merupakan matapelajaran ‘wajib’ dalam dunia pendidikan setiap Harakah Islamiyah!

Saya mengingatkan diri saya dan berpesan kepada kalian sebagaimana ucapan Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A ketika diangkat menjadi pemimpin. Rabbi yassir wa la tu’assir Ya Kariim.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah selepas Rasulullah SAW adalah insan yang paling layak untuk menjawat jawatan tersebut. Namun beginilah ucapan pertamanya:

“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik  dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah.

“Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku.” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).

Doakan semoga kami di DPPM dan seluruh pimpinan istiqamah melaksanakan amanah yang dipikulkan. Bantulah kami dalam usaha mengangkat syariat Islam dan meninggikan martabat ummah. Semoga Allah redha dan mempermudahkan urusan perjuangan. Allahumma Aamiin.

Siiru ‘ala barakatillah!

MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI
Ketua Sektor Pendidikan DPPM – HARAKAHDAILY 30/5/2023

- Advertisement -