Pulau Pinang milik Kedah bukan provokasi

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kenyataan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah bukanlah satu provokasi sebaliknya dibuktikan oleh ahli sejarah dalam dan luar negara.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, hal berkenaan telah disentuh oleh Prof Dato’ Dr Ahmad Murad Merican melalui makalah akademik bertajuk, ‘The 1786 Acquisition of Pulau Pinang’.

Menurutnya lagi ‘The 1786 Acquisition of Pulau Pinang’ merupakan penilaian (revisit) terhadap penulisan tokoh sejarah R. Bonney yang bertajuk ‘Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence’ mengenai pengambilalihan Pulau Pinang daripada Kedah.

“Sekiranya kenyataan dan pendirian Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berkali-kali menegaskan hal itu dianggap provokasi. Adakah pandangan tokoh sejarawan negara mahupun antarabangsa juga dianggap satu provokasi?

“Sedangkan sejarah tetap sejarah dan tidak boleh diubah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Muhammad Sanusi pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Persempadanan Darat dan Maritim (Kedah dan Perlis) berkata, tiada sempadan antara Pulau Pinang dan Kedah kerana negeri itu sememangnya hak Kedah.

Malah kata Ahmad, beliau sendiri telah menjelaskan di Dewan Rakyat, Kedahlah merupakan kedaulatan sebenar bagi negeri Pulau Pinang.

Tegasnya lagi R. Bonney melalui penulisannya menyimpulkan tidak ada sebarang perjanjian hitam putih yang ditandatangani berkenaan pemberian pulau tersebut daripada Tuanku Sultan Kedah (Sultan Abdullah Mukarram Shah) ketika itu.

Bahkan tindakan Francis Light yang mengambil alih Pulau Pinang atas nama King George III juga dianggap menceroboh undang-undang antarabangsa malah membohongi Sultan Kedah.

“Pada asasnya Tuanku Sultan Kedah membenarkan Pulau Pinang diduduki oleh Francis Light atas sebab terhimpit antara dua kuasa besar ketika itu iaitu Burma dan Siam.

“Tetapi bantuan ketenteraan yang dijanjikan British tidak disalurkan kepada Kedah terutama ketika serangan dilancarkan.

“Sedangkan ia adalah intipati utama surat daripada Sultan Kedah kepada Francis Light pada Mei 1791,” jelas Pesuruhjaya PAS Kedah itu lagi.

Selain itu, tindakan Francis Light menamakan semula Pulau Pinang dengan nama ‘Princes of Wales Island’ adalah ‘pembohongan terbesar dalam sejarah’ (the greatest deceptions in history).

Oleh itu kata Ahmad jika sejak awal lagi pendudukan British di Pulau Pinang ini diragui, bagaimana mungkin boleh timbul keraguan pemilikan Kedah terhadap Pulau Pinang sekarang.

“Inilah masa yang tepat untuk membetulkan kesilapan lampau dan penyerahan Pulau Pinang kepada Kedah tidak mungkin akan menggugat kedaulatan negara,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 30/5/2023

- Advertisement -