Pochettino galas tugas berat pulih Chelsea

- Advertisement -

Chelsea yang melantik Mauricio Pochettino sebagai ketua jurulatih, menugaskan bekas pengurus Tottenham Hotspur dan Paris St Germain (PSG) itu untuk memulihkan nasib kelab London itu selepas melalui musim yang suram.

- Advertisement -

Chelsea menduduki tempat ke-12 dalam Liga Perdana selepas kempen yang huru-hara d bawah kendalian Thomas Tuchel, Graham Potter dan Frank Lampard.

Pochettino dari Argentina yang menandatangani kontrak dua tahun dengan pilihan setahun lagi, akan mula bekerja pada 1 Julai.

Dia dikaitkan dengan Chelsea tahun lalu, apabila kelab itu mencari pengganti tetap selepas pemecatan Tuchel, tetapi ketika itu memilih untuk melantik Potter’s dari Brighton & Hove Albion .

Pochettino yang berusia 51 tahun akan menjadi pengurus Chelsea tetap ketiga, sejak kelab itu dijual pada 2022 kepada konsortium diketuai oleh pemilik bersama kelab baseball LA Dodgers, Todd Boehly dan disokong oleh Clearlake Capital, sebuah firma ekuiti swasta.

“Mauricio ialah jurulatih bertaraf dunia dengan rekod prestasi cemerlang. Kami tidak sabar untuk bersamanya,” kata pemilik Chelsea, Boehly, Behdad Eghbali, Jose E Feliciano, Mark Walter dan Hansjorg Wyss dalam satu kenyataan.

Berhubung kedudukan Lampard, Boehly dan Eghbali berkata, bekas pemain tengah Chelsea itu dibawa masuk secara sementara supaya kelab boleh menjalankan proses menyeluruh untuk melantik pengurus tetap.

Chelsea tewas lapan daripada 11 perlawanan di bawah Lampard, yang mengambil alih tugas di Stamford Bridge, bulan lalu selepas pemecatan Potter, dan tidak layak bersaing di saingan bola sepak Eropah musim depan selepas tersingkir dari suku akhir Liga Juara-Juara.

Kelab itu memenangi Liga Juara-Juara pada 2021, tetapi menamatkan musim ini tanpa sebarang piala dan melalui kempen terburuk sejak musim 1993-94 ketika menduduki tempat ke-14 di bawah Glenn Hoddle – walaupun pemilik baharu dari Amerika Syarikat mengeluarkan perbelanjaan besar untuk pembelian pemain.

Pochettino yang menggemari gaya permainan pantas dan menyerang, memiliki reputasi mencungkil bakat muda dan membawa Southampton ke tempat kelapan pada musim penuh pertamanya di England sebelum menyertai Spurs pada 2014.

Tottenham mara ke final Liga Juara-Juara 2019 dan menjadi pencabar Liga Perdana apabila menamatkan saingan di empat teratas untuk empat musim berturut-turut mulai 2015-19 sebelum dipecat.

Pochettino menyertai PSG pada Januari 2021, memenangi Piala Perancis dan gelaran Ligue 1, tetapi dipecat selepas gagal dalam kempen Liga Juara-Juara.

Kakitangannya di Chelsea termasuk Jesus Perez, Miguel d’Agostino, Toni Jimenez dan Sebastiano Pochettino.

“Pengalaman Mauricio, piawaian kecemerlangan, kualiti kepimpinan dan perwatakan akan memberi manfaat kepada kelab bola sepak Chelsea semasa kami bergerak ke hadapan,” kata Pengarah Sukan Bersama, Laurence Stewart dan Paul Winstanley.

“Dia adalah jurulatih yang memiliki cita rasa untuk menang, berpengalaman bekerja di peringkat tertinggi, di pelbagai liga dan bahasa. Etosnya, pendekatan taktikal dan komitmen terhadap pembangunan, menjadikannya calon yang luar biasa.” – REUTERS

- Advertisement -