Membersihkan hati

- Advertisement -

DIDAHULUI dengan melihat kisah hijrahnya Nabi Muhammad S.A.W, satu hijrah yang sulit terutama kepada golongan yang tua. Mereka hanya menerima Islam di ketika mereka melihat kekuatan dan kejayaan umat Islam. Di ketika penaklukan kota Makkah baru mereka membuka mata tentang benarnya dan hebatnya Islam dan baru mereka berbondong-bondong memasuki Islam, setelah bertahun-tahun mereka memerangi Islam. 

Nabi S.A.W mendakwahi penduduk Makkah tetapi dakwah Beliau ditolak.  Dan yang ramai menerima dakwah Nabi S.A.W itu adalah anak-anak muda. Pertanyaannya, kenapa bukan orang-orang tua? Kenapa yang awal-awal masuk Islam itu anak-anak muda? Jawapannya, anak-anak muda lebih terbuka pemikirannya, maksudnya lebih mudah menerima perubahan dan ilmu baru yang di bawa Rasulullah S.A.W berbanding orang tua yang sudah lama membudaya dalam dirinya fahaman-fahaman salah atau tradisi-tradisi nenek moyang mereka yang kuno. Contohnya bapa saudara Nabi S.A.W sendiri, Abu Talib yang menjaga Beliau dan duduk bersama Beliau tetapi bila diajak kepada Islam, bapa saudaranya menolak.

Sesungguhnya, Allah S.W.T tidak melihat kepada keturunan kita, Allah S.W.T tidak melihat kepada pakaian kita, Allah S.W.T tidak melihat kepada rupa paras kita, Allah S.W.T tidak melihat kepada penampilan kita, Allah S.W.T tidak melihat kepada perhiasan kita tetapi Allah S.W.T melihat kepada hati kita. Tetapi manusia lebih prihatin dan sibuk menjaga penampilan diri untuk mendapat penilaian manusia berbanding kepada penilaian Allah S.W.T. ingat! Yang Allah lihat hanya hati dan amalan kita:

- Advertisement -

“Dari Abu Hurairah dia berkata; Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah S.W.T tidak melihat kepada rupa dan harta kalian, tetapi Allah S.W.T melihat kepada hati dan amal kalian.””

(Hadis Riwayat Muslim: 4651)

Orang yang mula-mula sekali dibicarakan di hari kiamat kelak ada 3 golongan. Siapa mereka? Cuba perhatikan Hadis Nabi S.A.W berikut:

“Abu Hurairah R.A berkata yang bermaksud, Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: Sesungguhnya manusia pertama yang akan diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid. Beliau akan dibawa dan Allah S.W.T menunjukkan kepadanya nikmat nikmat-Nya, dan lelaki itu mengakuinya. Lalu Allah S.W.T bertanya Apa yang telah engkau lakukan dengannya? Lelaki itu menjawab Aku telah berperang di jalanMu sehingga aku mati syahid. Allah S.W.T menjawab Engkau bohong! Sebaliknya engkau berperang agar engkau dipanggil pahlawan! Sesungguhnya engkau telah dipanggil dengan gelaran itu. Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi, kemudian dilempar ke dalam neraka.

“(Kemudian giliran) seorang lelaki yang mempelajari ilmu. mengajarkan ia, dan membaca al-Quran. Dia dibawa dan Allah S.W.T menunjukkan nikmat-Nya kepada lelaki itu, dan dia pun mengakuinya Allah S.W.T bertanya: Apa yang telah engkau lakukan dengannya? Lelaki itu menjawab: Aku telah mempelajari ilmu, mengajarkan ilmu dan membaca al-Quran kerana-Mu. Allah S.W.T menjawab: Engkau bohong! Sebaliknya engkau menuntut ilmu untuk dipanggil orang alim, dan engkau membaca al-Quran untuk dipanggil Qari’. Sesungguhnya engkau telah dipanggil dengan gelaran itu. Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi, kemudian dilempar ke dalam neraka.

“(Kemudian giliran) seorang lelaki yang Allah S.W.T telah meluaskan kepadanya harta, dan dia memberikan hartanya kesemuanya kepada orang yang berhak. Dia dibawa dan Allah S.W.T menunjukkan nikmat-Nya kepada lelaki itu, dan dia pun mengakuinya. Allah S.W.T bertanya: Apa yang telah engkau lakukan dengannya? Lelaki itu menjawab: Tidak aku tinggalkan sedikit pun jalan yang mana Engkau suka untuk harta dibelanjakan padanya melainkan aku membelanjakan harta aku pada jalan itu untuk-Mu. Allah S.W.T menjawab: Engkau bohong! Sebaliknya engkau melakukan hal itu untuk dipanggil dermawan. Engkau telah mendapat gelaran itu Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.”

(Sahih Muslim, Kitab al-Imarah Hadis no: 1905)

Tiga golongan yang kelihatan soleh di dunia tetapi dicampak ke neraka akibat tidak ikhlas berjuang sehingga syahid semata-mata mahu digelar gagah berani. Mengaji dan mengajar semata-mata mahu digelar alim ulamak dan menderma semata-mata mahu digelar pemurah. Tiga golongan ini gagal dalam perbicaraan di mahsyar, muka muka mereka diseret seterusnya dihumban ke neraka.

Lisannya mengatakan sesuatu yang benar tetapi hatinya tidak ikhlas sedangkan yang dilihat Allah S.W.T hatinya. Allah S.W.T tahu apa yang ada di hati kita. Ingat ini! Jangan sampai amalan kita tinggal sia-sia:

“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, “Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).””

(Ash-Syu’ara : 88 -89)

Sebab itu Nabi Ibrahim A.S, kerana takutnya pada kesyirikkan, sentiasa membaca doa agar dijauhkan anak dan keturunannya dari perbuatan syirik. Jadi jangan kita pernah rasa terlalu yakin dan selamat, yang kita orang Islam tidak akan terjebak dengan perbuatan syirik. Jadi jangan dikotori hati kita dengan keyakinan-keyakinan syirik dan sebagainya yang bertentangan dengan ajaran Islam. Apa doanya?

وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَن نَّعْبُدَ الْأَصْنَامَ

“Jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.”

Ada dua penyakit hati

1. Penyakit syahwat.

Mengikuti hawa nafsu. Syahwat kepada harta, kecintaan kepada dunia yang berlebihan, syahwat kepada wanita, syahwat kepada pangkat, syahwat mencari pujian dan sanjungan. Seperti juga seperti yang diceritakan dalam hadis di atas, 3 golongan di mahsyar nanti. Dan selalunya pembuat dosa ini, menyedari dosa-dosanya tetapi tertipu daya oleh belitan iblis.

2. Penyakit syubhah.

Kesamaran dalam beragama sehingga mereka menentang ajaran yang dibawa olah Nabi S.A.W. Mereka berbuat dosa tetapi merasa itu kebenaran. Seperti cerita penduduk bumi ini, berapa ramai yang menyembah berhala atau tuhan-tuhan selain Allah S.W.T tetapi mereka merasakan itu kebenaran, dan yang malangnya ada umat Islam yang juga terjebak dengan penyakit syubhah ini, mereka benar-benar meyakininya apa yang mereka lakukan itu benar dan mengharap Allah S.W.T memasukkan mereka ke dalam syurga, sedangkan amalan yang dilakukannya tidak diamalkan oleh Nabi S.A.W. Penyakit ini disebabkan oleh kurangnya ilmu agama, kurangnya keyakinan di dalam hati dan kurangnya keinginan untuk meraih apa yang Allah S.W.T cintai dan redhai.

Bagaimana cara membersihkan hati

1. Mentauhidkan Allah S.W.T.

Dakwah Nabi S.A.W di Kota Makkah selama 13 tahun itu, Baginda fokus akan perkara ini. Tentang tauhid. Beliau berdakwah di seluruh Kota Mekah agar manusia mengatakan ‘Kalimah tauhid Lailahaillallah  ( لا اله الا الله ) yang membawa maksud ‘Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah’.

Dengan maksud meninggalkan semua kebergantungan kita kepada selain Allah S.W.T. Melepaskan semua sesembahan yang ada di hati selain Allah S.W.T. Jika ditanya, mengenai Tuhan, Orang-orang Makkah sendiri percaya yang Allah S.W.T itu Tuhan mereka dan mereka juga melakukan ibadah haji:

“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?”

(Al-‘ankabut: 61)

Jadi kenapa masih mengajak mereka kepada Islam?

Kerana mereka menyekutukan Allah S.W.T. Mereka masih menyembah Allah S.W.T dan selain Allah S.W.T.  Ini namanya syirk. Dan mereka menyatakan kenapa mereka menyembah dan meyakini selain Allah S.W.T, (Contoh: mereka percaya kepada tangkal, azimat, pemujaan dan jampi serapah yang bertentangan dengan aqidah) sebagai perantara untuk menyampaikan kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya, Allah S.W.T tidak memerlukan perantara. Inilah satu-satunya dosa yang tidak diampunkan Allah S.W.T sekiranya mereka mati dalam mensyirikkan Allah S.W.T dengan yang lain.

Kenapa? Kerana syirik ini kezaliman yang paling nyata. Allah S.W.T yang memberikan kita segala-galanya, tetapi kenapa benda lain yang disembah dan diyakini? Inilah namanya zalim. 

“Janganlah engkau menyekutukan Allah S.W.T. Sesungguhnya mempersekutukan Allah S.W.T adalah benar-benar kezaliman yang besar.”

(Luqman: 13)

“Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah S.W.T, maka pasti Allah S.W.T  mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.”

(Al-Ma’idah: 72)

2. Perbanyakkan istighfar – taubat.

Mungkin kita pernah melakukan dosa-dosa, mungkin juga dosa-dosa syirik dan dosa-dosa besar yang lainnya. Dosa-dosa ini meletakkan bintik-bintik hitam di hati kita. Syarat taubat itu ialah menyesal, meninggalkan dan bertekad tidak mengulanginya dan sekiranya dengan orang lain, minta maaf:

“Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya, “Jika seorang mukmin berbuat satu dosa, maka diberikan satu titik hitam dalam hatinya. Jika ia bertaubat, meninggalkan dosa tersebut, dan memohon keampunan, maka hatinya kembali bercahaya. Namun apabila ia bertambah melakukan dosa, titik hitam itu juga bertambah, hingga akhirnya menutup hatinya. Inilah yang disebutkan Allah S.W.T sekali-kali tidak! Bahkan apa yang mereka kerjakan itu telah menutupi hati mereka.”

(Al Muthaffifin: 14) (Hadis Riwayat Ibnu Majah; hasan)

3. Baca al-Quran, melaksanakan puasa-puasa sunat dan solat sunat.

Setiap hari, usahakan baca al-Quran walaupun sekadar satu ayat dan baca terjemahannya. Menjaga hati dan menambah Iman itu maksudnya kita menghubungkan hati kita setiap hari dengan al-Quran.

4. Berbanyakkan zikir dan berdoa.

Tidak kira di mana pun kita berada, sama ada di rumah, di tempat kerja, di pasar dan sebagainya tetapi hati kita tetap mengingat Allah S.W.T. Banyakkan baca tahlil, tahmid, takbir, tasbih dan sebagainya. Sekurang-kurangnya zikir harian, pagi dan malam. Banyakkan selawat.

5. Berbahagia dengan kebahagiaan saudaramu. 

Hilangkan rasa iri dan dengki tetapi sentiasa bergembira dengan kegembiraan dan kejayaan orang lain. Berusaha untuk menggembirakan orang-orang yang kita sayangi dan orang lain:

“Daripada Ibn ‘Umar R.A, bahawa ada seorang lelaki yang datang bertemu Rasulullah S.A.W. Dia berkata: “Wahai Rasulullah, manusia apa yang paling dicintai oleh Allah? Dan amalan apa yang paling dicintai oleh Allah S.W.T?” Rasulullah S.A.W menjawab yang maksudnya: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah S.W.T adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain, manakala amalan yang paling dicintai oleh Allah S.W.T adalah kebahagiaan yang engkau berikan kepada diri seorang Muslim atau engkau menghilangkan kesulitannya ….””

(Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (13646))

6. Suka menerima teguran.

Kalau suka ditegur oleh orang, jangan kembali menegur orang itu. Terima setiap tegurannya untuk kita memuhasabah dan memperbaiki diri. Sebenarnya kita banyak kekurangan dan orang lain nampak kekurangan kita. Terimalah mereka memperbaiki diri kita agar kita menjadi lebih baik.

“Semoga Allah S.W.T merahmati orang yang menghadiahkan kepada kami aib-aib kami.”

(Umar Al-Kathab)

7. Sedekah.

Suka bersedekah, suka berkongsi kesenangan dengan orang. Orang yang pemurah, hatinya akan lembut dan Allah S.W.T akan bersihkan hatinya:

“Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Tidak akan berkumpul sifat kedekut dan keimanan dalam hati seorang hamba selama-lamanya.””

(Hadis Riwayat Nasa’i, no. 3110 dan 3111)

8. Suka menziarahi tempat orang miskin dan sesekali menziarahi kubur.

Ketika berziarahi, biar kita sendiri yang menziarahinya agar kita dapat menyaksikan sendiri kekurangan dan kemiskinan orang yang kita ziarahi. Ini akan mendatangkan keinsafan dalam hati dan melembutkan hati. Dan menziarahi kubur pula, untuk mengingatkan mengenai kematian dan hari akhirat. Jadi hal ini akan menjadikan kita sentiasa mempersiapkan hati dan diri kita untuk menuju kematian dan hari akhirat.

9. Belajar – Menuntut ilmu:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

“Ya Allah, sungguh aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima.”

(Hadis Riwayat  Ibnu As-Sunni dan Ibnu Majah)

Amalkan doa ini di setiap pagi agar Allah S.W.T akan sentiasa membukakan hati kita untuk mempelajari dan mendapat ilmu kefahaman dalam beragama melalui pelbagai sumber ilmu sama ada online, bersemuka, di buku-buku dan sebagainya agar hati serta hidup kita bebas dari sebarang kejahilan dan  pergantungan kepada selain daripada Allah S.W.T. 

Dan semoga Allah S.W.T memberikan kita limpahan rezeki yang melimpah ruah dari sisi-Nya. Dan semoga apa sahaja yang kita lakukan dalam kehidupan akan diterima Allah S.W.T dan memasukkan kita ke dalam syurga-Nya dan menjauhkan kita dari neraka-Nya. 

Dan yang akhirnya semoga Allah S.W.T  membersihkan hati-hati kita dari karat-karat dosa dan maksiat dan menggantikannya dengan akhlak-akhlak terpuji seperti akhlak Rasulullah S.A.W. Aamiin.

Wallahu’lam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 30/5/2023

- Advertisement -