Malaysia lepasi cabaran sengit Oman

- Advertisement -

Walaupun menang tipis 1-0 ke atas tuan rumah, Oman pada aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, keputusan itu sudah cukup untuk membawa Malaysia ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

- Advertisement -

Dalam perlawanan awal pagi ini, hasil jaringan Shahmie Irfan Suhaimi menerusi penalti stroke pada minit ke-48, Malaysia bakal membuat perhitungan di peringkat separuh akhir berdepan Pakistan yang menduduki tempat kedua Kumpulan A.

Namun, ketua jurulatih skuad remaja lelaki kebangsaan, Muhamad Amin Rahim, menuntut pemain untuk mengembalikan momentum tiga perlawanan terdahulu.

Walaupun pasukannya berjaya menamatkan perlawanan hari ini dengan kemenangan, beliau tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan anak buahnya.

“Untuk perlawanan hari ini, kami mencapai objektif untuk menutup perlawanan dengan kemenangan. Namun, secara keseluruhan saya kurang berpuas hati dengan persembahan pemain, terutama melepaskan beberapa peluang menjaringkan gol padang serta gol pukulan sudut penalti.

“Saya boleh lihat pemain agak sambil lewa dan jika pemain tidak mengubah sikap ini, pasukan akan menghadapi masalah pada aksi separuh akhir nanti. Saya amat berharap ini hanya satu perlawanan terburuk dalam kejohanan ini dan pemain akan bangkit untuk aksi separuh akhir nanti,” katanya.

Aksi pemain Malaysia berdepan pasukan tuan rumah, Oman

Muhamad Amin berkata, sejak kejohanan bermula, pasukan mempunyai peluang untuk kekal berada di kedudukan teratas kumpulan dan pada tiga perlawanan pertama, pemain telah membuktikannya.

Justeru, beliau berharap mereka akan kembali konsisten dengan persembahan yang ditunjukkan pada tiga perlawanan pertama serta tidak akan terbawa-bawa dengan penampilan hari ini.

Bagi menghadapi Pakistan di separuh akhir, katanya pasukan mempunyai tempoh dua hari yang akan digunakan dengan sebaiknya bagi proses pemulihan pemain serta melakukan analisis terhadap kekuatan serta kelemahan Pakistan.

“Pakistan dan India di Kumpulan A merupakan pasukan yang terkuat, tetapi terdapat beberapa kelemahan yang kami kenal pasti pada pasukan Pakistan.

“Saya berpandangan jika kami turun pada aksi separuh akhir dengan semangat yang sama seperti tiga perlawanan awal, saya tidak melihat kenapa pasukan tidak boleh menjelmakan keputusan yang baik,” katanya.

Malaysia akan bertemu Pakistan di peringkat separuh akhir pada pada Khamis (1 Jun) jam 1 waktu Malaysia dan perlawanan tersebut boleh ditonton secara langsung menerusi pengstreman langsung di aplikasi watch.hockey. – PERSEKUTUAN HOKI MALAYSIA

- Advertisement -