
BEIJING: Sebuah jet peribadi yang digunakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc., Elon Musk telah mendarat di Beijing, China hari ini, Selasa (30 Mei).
Musk dijangka bertemu pegawai kanan China dan melawat kilang Tesla di Shanghai, kata sumber kepada Reuters, melalui kunjungan pertamanya ke China dalam tempoh tiga tahun.
Tesla bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas sama ada Musk telah tiba di China.
Menurut sebuah laman web pengagregatan penerbangan, ADS-B Exchange, jet peribadi Musk, Gulfstream G650ER 2015, dikesan meninggalkan Alaska pada pagi Selasa (30 Mei) waktu Asia sebelum menyeberangi Jepun dan Korea Selatan.
Sumber saksi Reuters pula berkata, jet peribadi Musk dengan nombor ekor pengenalannya tersebut telah dilihat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital pada hari ini (30 Mei).

China yang merupakan pasaran kedua terbesar Tesla selepas Amerika Syarikat, dan kilangnya di Shanghai ialah hab pengeluaran terbesar pembuat kereta elektrik itu.
Terdahulu, agensi berita China, Xinhua melaporkan New Development Bank (NDB) yang berpangkalan di Shanghai telah mengeluarkan bon denominasi Renminbi (RMB) sebanyak 8.5 bilion yuan (RM5.5 bilion) dalam pasaran bon antara bank China.
NDB merupakan bank yang dibina oleh negara-negara BRICS termasuk Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, yang berpusat di Shanghai yang dilancarkan pada 21 Julai 2015 itu telah menerima negara Bangladesh, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Uruguay sebagai ahli baharu BRICS pada 2021.
Gerakan BRICS merupakan antara langkah yang dilakukan bagi menghadapi apa juga cabaran kekuasaan mata wang dolar AS, sebagai sistem kewangan alternatif yang membolehkan sesebuah negara melakukan apa juga perniagaan tanpa menggunakan dolar AS.
Ia dikatakan berpotensi menyebabkan kejatuhan dolar AS sebagai kuasa ekonomi utama dunia yang turut memberikan kesan yang mendalam terhadap setiap mata wang negara lain. – HARAKAHDAILY 30/5/2023