MANILA: Pengawal pantai Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Filipina akan mengadakan latihan maritim di Laut China Selatan, minggu ini, latihan bersama pertama ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai langkah China di perairan yang menjadi tuntutan pelbagai negara.
Latihan bermula 1 hingga 7 Jun di perairan wilayah Bataan adalah inisiatif AS dan Jepun, manakala Australia akan menyertai sebagai pemerhati, kata jurucakap pengawal pantai Filipina, Armand Balilo, semalam.
Empat kapal Filipina dan masing-masing satu dari AS dan Jepun akan mengambil bahagian dalam latihan yang direka untuk meningkatkan kerjasama mencari dan menyelamat serta penguatkuasaan undang-undang, kata Balilo.
Jepun dan AS mencadangkan kepada Filipina untuk mengadakan latihan maritim bersama pada Februari lalu, ketika Manila menuduh China bertindak agresif di Laut China Selatan, perairan luas yang Beijing dakwa sebagai wilayahnya.
“Ini adalah aktiviti rutin biasa dalam kalangan agensi pengawal pantai,” kata Balilo pada sidang media.
“Tidak ada salahnya mengadakan latihan dengan rakan sejawatan anda.”
Jepun, Australia dan AS sering mengecam aktiviti ketenteraan China di Laut China Selatan dan berusaha untuk melibatkan diri lebih rapat dengan sekutu AS, Filipina sejak Ferdinand Marcos Jr mengambil alih jawatan presiden tahun lalu daripada Rodrigo Duterte yang pro-China.
Hubungan Filipina dan AS mendapat keutamaan pentadbiran Marcos yang bersikap lantang terhadap China, termasuk dakwaan menggunakan “laser gred tentera” terhadap sebuah kapal yang menyokong misi menghantar bekalan makanan tentera laut.
Filipina juga mengadu mengenai kegiatan yang dipercayai militia China berhampiran kawasan yang dikuasai Filipina di kepulauan Spratly yang dipertikaikan. China mempertahankan tindakan pengawal pantai negara itu adalah sah dan dilakukan di perairan negara itu.
Balilo berkata, latihan maritim tiga negara yang akan datang diadakan, termasuk simulasi menghadapi lanun, dan mungkin latihan pemintasan yang melibatkan kapal membawa senjata pemusnah besar-besaran. – REUTERS