Bina ukhuwah islamiah, jauhi prasangka buruk

- Advertisement -

DARIPADA Abi Hurairah RA daripada Nabi SAW telah bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

“Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kamu saling (memasang mata dan telinga untuk) mencari cari salah orang, janganlah saling mengintip (menyiasat perkara buruk yang tersembunyi), saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.” (Riwayat Imam Muslim)

- Advertisement -

Kefahaman hadis

1. Kekuatan ummah terletak pada perpaduan dan kesatuan mereka yang utuh. Sementara kesatuan itu tidak boleh dibina dengan “janji manis” dan tidak pula boleh diikat dengan wang ringgit.

2. Perpaduan dan kesatuan ummah ini hanya boleh diikat utuh dan dibina teguh dengan hidayah Allah SWT dan pedoman sunnah Rasulullah SAW.

3. Elemen utama agar perpaduan ummah tidak retak terburai dan semangat persaudaraan tidak terlerai ialah menjauhkan prasangka buruk sesama Muslim.

4. Umat Islam juga mesti mengelak diri daripada terjebak dalam sindiket mencipta fitnah untuk ditabur ke tengah laman media sosial bagi mencetus pertelagahan dan rasa saling curiga mencurigai sesama umat Islam.

5. Bahkan jangan liar mata dan capal telinga untuk sengaja mencari-cari salah orang lain. Mengintip dan memasang “james bond” bagi mengorek rahsia dan aib orang untuk dijadikan modal pendedahan ekslusif guna membunuh karakter dan menjatuhkan air muka saudara sendiri.

6. Mencetus kebencian sesama muslim dengan mengapi-api semangat permusuhan atas perbezaan warna parti politik dan aliran pemikiran. Keterlaluan dan melampau dalam tindakan dan kenyataan sehingga lahir sifat dendam.

7. Musuh Islam kini mampu “memijak kepala” apabila umat Islam kelelahan bersabung sesama sendiri. Pertelingkahan dalaman umat Islam yang tidak sudah, menjadikan mereka lemah, hilang fokus, gagal mengesan jebakan musuh seterusnya hilang berkat dan lebih ngeri, ia mengundang murka Allah SWT.

Firman Allah SWT.

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu bertelingkah,  kelak kamu akan celaka dan hilang kekuatan, dan bersabarlah (dalam menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Surah Al Anfaal: 46)

8. Jadilah kamu bersaudara. Begitu pesan bernilai emas dari Baginda Rasul SAW.

9. Berpaksi pada syahadatain, Tuhan yang satu, kiblat yang satu, kitab yang satu, Nabi yang satu dan agama yang satu, sebenarnya kita mempunyai banyak persamaan untuk kekal bersaudara meskipun terdapat beberapa perbedaan.

10. Carilah 1001 jalan untuk bersatu dan kekal bersaudara. Jangan berdalih dengan 1001 alasan untuk terus bertelingkah dan akhirnya umat Islam menemui rugi yang besar. Sementara musuh Islam mengaut untung tidak kira waktu.

NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat
10 Zul Qaedah 1444 / 30 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 30/5/2023

- Advertisement -