28 tahun menanti, pembeli kondominium tarik nafas lega

- Advertisement -

BALIK PULAU: Selama 28 tahun penantian 21 pembeli rumah berputih mata untuk mendiami Kondominium Taman Terubong Indah (Majestic Height) yang dibina sejak tahun 1995.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, kini pembeli berkenaan mampu menarik nafas lega kerana mendapat semula hak memiliki rumah.

“Alhamdulillah, saya dijemput oleh pembeli-pembeli rumah Kondominium Taman Terubong Indah (Majestic Height) dalam majlis penghargaan dan terima kasih, kerana membantu mereka mendapatkan semula hak rumah mereka.

“Mereka ialah daripada pembeli unit kondominium yang kehilangan rumah di Taman Terubong Indah (Majestic Height) kerana apabila sahaja siap projek tersebut serta bayaran dan potongan bank sudah dibuat, tetapi rumah mereka menjadi hak milik orang lain,” jelasnya.

Katanya lagi kerajaan negeri Pulau Pinang telah menggantikan rumah pangsapuri K-Park di Kuala Jalan Baharu, Balik Pulau sebagai rumah pampasan kepada 21 pembeli yang diabaikan hak mereka sebelum ini.

Jelasnya, PAS Pulau Pinang dan aktivis Steven Koh telah memperjuangkan nasib 21 pembeli Majestic Height sejak tahun 2021.

“Sebelum ini pada 2021 di hadapan Bangunan Dewan Undangan Negeri, PAS Pulau Pinang menerima memorandum daripada penduduk untuk disampaikan kepada pihak berwajib. Atas desakan PAS Pulau Pinang dan juga melalui sidang DUN yang isu ini dibawa oleh Adun PAS Penaga, YB Ustaz Yusni Mat Piah.

(dari kiri)) Steven Koh, Ketua DHPP Pulau Pinang, K. Jayaraman, Ustaz Muhammad Fauzi dan Yaakob Omar.

“Sebagai pampasan, kerajaan negeri menggantikan rumah pangsapuri K-Park buat 21 pembeli unit rumah kondominium Majestic Height.

“Setelah 20 tahun mereka berusaha dan terakhirnya apabila PAS Pulau Pinang membawa isu ini dalam sidang DUN dan mendesak ianya diselesaikan, barulah pemilik-pemilik rumah tersebut dapat menarik nafas lega,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penghargaan oleh penduduk yang terlibat di Dewan Serbaguna K-Park pada 28 Mei lalu.

Menceritakan rentetan perjuangan 21 pembeli rumah, Steven Koh berkata Kondominium Majestic Heights di Taman Terubong Indah telah mula dibina pada tahun 1995 yang ketika itu Pulau Pinang ditadbir oleh parti Gerakan.

“Semasa pembinaan hampir siap 80 peratus, kesemua unit telah pun dijual dan kebetulan pada pilihan raya berikutnya, kerajaan Gerakan jatuh dan projek itu terbengkalai.

“Selepas kerajaan DAP ambil alih, projek itu telah pun ditangguhkan sehingga habis tamat luput tarikh untuk pembeli rumah membuat rayuan di mahkamah.

Steven menerima cenderahati daripada penduduk sebagai tanda penghargaan dan mengenang jasa beliau membantu penduduk.

“Bila dah tarikh luput, mereka tak boleh lagi merayu ataupun mengikut lunas undang-undang yang sebenarnya,” kata Steven.

Ceritanya lagi, selepas itu kerajaan DAP menyiapkan baki 20 peratus dan kemudian menjual semula kepada orang lain.

Katanya, ini menyebabkan rumah itu dimiliki oleh dua nama iaitu pembeli pertama dan pembeli kedua.

“Selepas itu pada tahun 2017, mereka mendapat khabar yang rumah itu akan diserah kunci tetapi bukan kepada mereka tetapi kepada pembeli kedua.

“Jadi mereka telah mencuba pelbagai cara, mereka telah berjumpa pelbagai orang, namun kes ini masih tidak dapat diselesaikan.

“(Hanya) Selepas itu mereka datang berjumpa dengan Steven, dan Steven telah membantu mereka khususnya Steven merujuk kepada pimpinan negeri dan juga YB Ustaz Yusni untuk dibawa isu ini ke sidang DUN,” katanya lagi,

Pada masa yang sama kata Steven, beliau telahpun membuat perjumpaan secara bersemuka dengan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Akhirnya pada tahun 2022 di bulan Julai, 21 pembeli rumah kondominium di Taman Terubong Indah yang dianiaya ini telah diberikan pampasan rumah pangsapuri sebanyak 21 unit di K-Park, Balik Pulau.

“Jadi program hari ini adalah majlis penghargaan, ialah bertujuan untuk menghargai jasa kita membantu mereka,” katanya.

Turut hadir perjumpaan penghargaan bersama penduduk ialah Yang Dipertua PAS Tanjong, Yaakob Omar dan Pengerusi DHPP Pulau Pinang, K. Jayaraman. – HARAKAHDAILY 30/5/2023

- Advertisement -